MALAYSIA POST
JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) PKR menjangkakan jumlah yang akan
keluar mengundi pada pemilihan parti kali ini akan melebihi dari jumlah
200,000 anggota yang telah keluar dalam pemilihan 2018.
Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia susulan pelaksanaan sistem pemilihan hibrid yang menggabungkan pemilihan secara atas talian dan fizikal yang lebih memudahkan pengundian dibuat tanpa perlu hadir ke cabang keanggotaan masing-masing.
Menurutnya, persediaan ke arah pemilihan parti diteruskan walaupun berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka akan berlaku pada pertengahan Mac ini.
“JPP kini terus gigih dalam
persediaan tersebut bagi menepati garis masa yang telah disasarkan oleh Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.
“Tarikh penerimaan keanggotaan dan pertukaran Cabang telah pun
ditutup pada 31hb Januari baru-baru ini, dengan pengesahan dari pejabat
Setiausaha Agong bagi penerimaan permohonan keanggotaan baru mencecah
78,093 orang suatu pertambahan yang besar dari jumlah
seramai 1,004,629 pada Ogos 2020 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, anggota juga begitu teruja dalam pemilihan kali ini yang diharapakan akan mengenengahkan barisan kepimpinan yang lebih mantap.
“Merangkumi dari pelbagai latarbelakang termasuklah dari kalangan anak muda dan srikandi, aktivis, professional juga golongan agamawan serta gandingan muka baru dan anggota senior parti.
“Ini bertepatan sekali dengan tema pemilihan kali ini iaitu kembali melaras, membina dan memperkuat,” katanya.
Menurutnya, senarai mereka yang boleh mengundi akan dimuktamadkan selepas 18 Februari ini dan sekarang adalah fasa semakan dan bantahan, jika ada, dari keseluruhan Cabang dan sayap parti.
“Seusai itu, JPP akan melancarkan aplikasi “ADIL apps” yang boleh dimuat turun melalui apps store dan play store di mana anggota parti boleh mengemaskini maklumat kendiri serta mula mendaftar untuk mengundi secara online dalam pemilihan parti.
“JPP menggalakkan anggota parti untuk sentiasa cakna dengan segala perkembangan terkini dari kami yang boleh diikuti dari website rasmi parti dan juga Facebook page rasmi pemilihan parti,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan