HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Bekas KSU KDN dedah minit Zahid dalam kontrak adalah persetujuan


Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa catatan minit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada surat pelanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pelaksanaan sistem Visa Luar Negara (VLN) bukan satu arahan tetapi adalah satu persetujuan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Alwi Ibrahim berkata berdasarkan catatan minit oleh Zahid pada 18 Okt 2016 yang dihantar kepadanya, ia adalah satu persetujuan supaya kelulusan diberikan dengan segera, menurut laporan Bernama.

Catatan minit itu menyatakan “Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025, seperti tercatat dalam perjanjian perkara 2.2.1 yang sedia ada. Sila sediakan perjanjian tambahan untuk merealisasikannya dengan kadar segera”.

Semasa disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, berdasarkan ayat pada perenggan 10 kenyataan saksi Alwi, 63, (catatan minit Zahid), ia bukan satu arahan tetapi persetujuan, Alwi menjawab: “Setuju.”

Ahmad Zaidi: Apa pemahaman Tan Sri (Alwi) tentang minit Datuk Seri Zahid yang menyatakan ‘merealisasikannya dengan kadar segera’?

Alwi: Pemahaman saya ia perlu dibuat dengan cepat.

Ahmad Zaidi: Berapa cepat, seminggu, dua minggu?

Alwi: Bergantung kepada kontrak sesuatu kes.

Alwi juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa walaupun ia diminitkan (catatan minit Zahid) dengan kadar segera namun ia masih tertakhluk pada prosedur di KDN.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung pada 7 Mac.

Tiada ulasan: