KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk
Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau tidak pelik jika kerjasama
dalam Muafakat Nasional (MN) antara parti itu dan UMNO kini semakin
renggang.
Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga bekas menteri
Kabinet itu berkata, ini kerana daripada awal penubuhan gagasan
tersebut, ada yang tidak selesa dengan kewujudan MN.
“Ada yang kurang mesra Muafakat Nasional daripada awal
lagi. Kalau sekarang ada yang membakar jambatan tiada yang pelik. Tidak
sedikit yang sebegini daripada kedua belah pihak.
“Namun, ia tidak menghalang untuk kita terus
memperjuangkan perpaduan umat. Sekiranya PAS dan UMNO gagal untuk
bersatu pada platform politik berpilihanraya kita masih terus
bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan
bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan
rakyat.
“Budaya Politik Matang Sejahtera masih menjadi sebahagian dasar PAS dalam membawa politik dakwah.
“Usahlah serang menyerang. Ambillah politik damai
menghormati pilihan masing-masing. Teruskan berdoa yang terbaik untuk
umat,” tulisnya dalam hantaran Facebook miliknya.
Pada awal bulan ini, Khairuddin digugurkan sebagai AJK parti tanpa sebarang sebab dan ia diumumkan secara terbuka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya menjelaskan perkara itu berlaku kerana pucuk pimpinan mempunyai alasan termasuk kerana seseorang ahli itu tidak mematuhi disiplin parti.
Ramai beranggapan apa yang berlaku kepada Mohd. Khairuddin ada kena mengena dengan pendiriannya berkaitan MN dan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan