HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Lokman Adam bersama penceramah disaman Khairy, fitnah isu vaksin


Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam dan seorang penceramah, Mohd Rasyiq Mohd Alwi yang lebih dikenali sebagai Abu Syafiq disaman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy mengambil tindakan undang-undang tersebut ekoran kenyataan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas dibuat oleh kedua-dua mereka antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tahun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman tersebut itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari, menurut laporan Malaysiakini.

Menurut laporan lagi, saman tersebut melibatkan kandungan video, gambar dan tulisan di media sosial – Facebook, Youtube dan Instragram yang dikeluarkan oleh kedua-dua penama yang disaman tersebut.

Saman itu difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Pengurusan kes ditetapkan pada 28 Februari.

Untuk rekod, Lokman juga sebelum ini disaman Ketua Hakim Syarie Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bagi menuntut ganti rugi RM30 juta.

Saman fitnah itu berhubung beberapa hantaran di laman sosial membabitkan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang yang bergelar ‘Datin’.

Mohd. Na’im, 55, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Januari lalu dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan tunggal di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd. Na’im mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Selain itu, Abu Syafiq juga sebelum ini membuat tuduhan fitnah terhadap Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasinya dalam mengerjakan ibadah umrah Mac lalu.

Abu Syafiq dalam laman sosial Instagramnya mendakwa Muhyiddin dan delegasinya tidak mendapatkan vaksin ketika mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan pejabat Mantan PM Kelapan tersebut dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: