HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Februari 2022

‘Jangan nak ugut Umno’ – Razlan bidas PAS

MALAYSIA POST

‘Jangan nak ugut Umno’ – Razlan bidas PAS

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii berkata, ramai ahli PAS mahu bersama Umno tanpa Bersatu.

Namun, beliau berkata, pemimpin PAS yang memegang jawatan dan habuan dalam kerajaan Perikatan Nasional (BN) sudah ‘buta tuli’ daripada melihat kebenaran perjuangan ummah sebenar.

“Mana-mana pihak dalam PAS yang mendapat habuan pangkat serta jawatan seeloknya mengambil sikap senyap.

“Takkala Ketua Pemuda PAS dilantik Senator, Ketua Pemuda Umno terus berjuang, takkala (Tan Sri) Muhyiddin Yassin membeli hati PAS dengan jawatan dan pangkat, akar umbi Umno dan PAS terus bergelut berjuang tanpa hilang sekelumit sayang pada ummah.

“Selagi ada yang memikirkan keuntungan peribadi, selagi itu semangat kesatuan ummah akan dikuburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin yang berpandangan siri ‘pengkhianatan’ oleh Umno terhadap PAS dicetuskan kumpulan tertentu dalam parti itu.

Jelas Khairil Nizam, kesabaran PAS dalam mendepani kerenah dan pengkhianatan Umno itu ada batasnya.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, PAS sebelum ini senada dengan Bersatu yang mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai salah Umno.

“Walhal semua tahu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan Menteri Besar kepada Datuk Seri idris Harun dan habuan untuk tiga lagi Adun.

“Jadi, elok diam dan tak perlu nak ugut-ugut, penyatuan ummah dimulakan oleh Umno dan PAS, Bersatu ada menghalang ketika itu.

“Tanya (Datuk Seri) Takiyuddin (Hasan), siapa pengkhianat sebenar! Siapa yang menghalang penyatuan Ahli Akar umbi dengan Umno?

“Ramai ahli PAS mahu bersama Umno tanpa PPBM (Bersatu), yang memegang jawatan dan habuan dari kerajaan PN sudah buta tuli melihat kebenaran perjuangan ummah sebenar,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: