MALAYSIA POST
AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berharap, tahun harimau kali ini mampu menjadi titik perubahan kepada Malaysia yang lebih baik.
Veteran DAP itu mendakwa, Malaysia yang pernah menjadi peneraju ekonomi di Asia Tenggara dan masyarakatnya yang pelbagai diraikan di seluruh dunia, namun kegemilangan itu kian terhakis disebabkan ahli politik yang korup.
Menurutnya, ahli politik yang korup berkenaan secara beransur-ansur telah menghakis daya saing ekonomi dan keharmonian sosial di Malaysia.
“Kedudukan Malaysia telah menurun lima anak tangga dalam kedudukan dunia Transparency International baru-baru ini.
“Ketidakstabilan politik telah mengganggu perniagaan dan kegagalan kerajaan persekutuan menguruskan situasi banjir di negeri-negeri yang terjejas amat mengecewakan,” katanya dalam video ucapan sempena Tahun Baru Cina dikongsi di laman Facebooknya, hari ini
Kit Siang berharap, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, jantina, latar belakang, kaum dan agama tidak berputus asa, sebaliknya mesti bangkit untuk Malaysia.
“Perjuangan kita untuk menjadikan negara lebih baik bukan sahaja untuk generasi akan datang tetapi juga untuk golongan muda dan warga emas pada masa ini.
“Malaysia adalah milik generasi muda, pertengahan umur dan warga emas. Malaysia adalah milik lelaki dan wanita di sini.
“Bersama-sama kita di tahun harimau bertuah ini, kita letakkan negara kembali pada landasan kemajuan dan kejayaan,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan