HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

Bersatu jangka pengundi muda jadi penentu PRN Johor

 BERNAMA

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata sukar untuk menafsir undi golongan muda yang berusia 18 hingga 21 tahun.

Parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka mengalami kesukaran untuk menafsir undi golongan muda yang berusia 18 hingga 21 tahun, terutama mereka yang pertama kali memilih wakil rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyifatkan ia satu cabaran baru termasuk kepada parti itu, sekali gus menolak dakwaan sesetengah parti kononnya mereka “boleh memiliki” pengundi terbabit.

“Dengan terlibatnya pengundi muda, ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara…sebelum ini ada parti politik yang menyatakan mereka selesa kerana ada pengundi tegar yang akan mengundi mereka.

“Tetapi dengan adanya anak muda ini, kita tidak boleh baca kerana mereka boleh mengundi sesiapa sahaja atau ada kemungkinan juga tidak mengundi langsung,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Jalan Abdul Rahman, Muar malam tadi.

Beliau berkata pengundi muda juga dijangka akan menjadi penentu PRN Johor ini, oleh itu parti tersebut perlu menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka di samping membuat tawaran bermakna kepada golongan ini.

Wan Saiful berkata Pemuda Bersatu bersama sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) berhadapan dengan tugasan berat dan perlu merangka strategi dalam usaha mendekati golongan anak muda ini.

Tiada ulasan: