HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Februari 2022

‘Parti perlu dengar suara akar umbi’ – Isham bidas PAS

 Nilam Oshman

‘Parti perlu dengar suara akar umbi’ – Isham bidas PAS

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berharap semua pemimpin politik termasuk pemimpin kerajaan agar lebih terbuka mendengar maklum balas daripada rakyat serta akar umbi parti.

Isham berkata, ini kerana beliau mendapat makluman bahawa sebahagian ahli PAS tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mereka lebih cenderung kepada Muafakat Nasional (MN) iaitu bersama Umno.

Namun, katanya pemimpin-pemimpin atasan PAS tidak mahu mendengar saranan akar umbi mereka ini.

Jelasnya, dalam sesebuah parti, pendapat daripada akar umbi itu penting bagi memperkasakan lagi keputusan dan hala tuju parti tersebut dan itu yang dipraktikkan Umno.

“Dalam Umno, kita lebih terbuka. Kita galakkan akar umbi kita untuk bertanya soalan kepada pemimpin supaya penerangan dapat dibuat dengan jelas dan berterusan berkenaan halatuju parti yang memberi kesan kepada semua ahli, dan supaya keputusan boleh dibuat secara lebih berkonsensus.

“Hampir semua (jika tidak semua) keputusan-keputusan penting dalam Umno dibuat berdasarkan maklumbalas dan persetujuan akar umbi.

“Semak-imbang ini juga penting supaya pemimpin lebih ‘accountable’ atau bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan yang mereka buat. Ia juga membuatkan Umno lebih demokratik dan stabil,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, oleh sebab itu juga Umno mempraktikkan hal ini dalam membuat dasar-dasar kerajaan untuk rakyat dengan sentiasa mendengar denyut nadi dan aspirasi rakyat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Justeru, saya harap semua pemimpin-pemimpin politik tidak kira dari parti mana dan juga pemimpin-pemimpin kerajaan supaya lebih terbuka untuk mendengar maklumbalas daripada rakyat dan akar umbi.

“Zaman pemimpin dan kerajaan tahu semua dan membuat keputusan sendiri tanpa maklumbalas rakyat telah lama berlalu.

“Lebih banyak maklumbalas kita terima dari orang ramai yang kita wakili, lebih baik dan lebih berkesan kita boleh bantu rakyat dengan apa yang mereka perlukan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria meminta Ahli PAS agar memberikan kepercayaan penuh kepada pemimpin parti itu menyusun langkah dan tidak sibuk bertanya mengenainya atau mengambil kerja mereka.

Beliau berkata, tindakan tersebut adalah akhlak yang perlu ada pada mereka dan pada masa sama mengelak daripada berasa ‘pening’ dengan percaturan yang dibuat pimpinan.

“Kita tak payah ambillah kerja yang atas-atas (pimpinan). Dengan siapa (PAS) nak duduk, kerusi nak berapa. Kita yang bawah-bawah ni terima arahan sahaja”, katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: