HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Februari 2022

PRN Johor: PN muktamad senarai calon minggu depan – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) akan memutuskan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan bersama PAS dan Gerakan.

“Senarai calon dah ada, tapi kita belum putuskan siapa yang nak dipilih. Dalam masa seminggu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi tahun Baharu Cina anjuran Gerakan hari ini. 

Turut hadir Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Mohd Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

Muhyiddin sebelum ini berkata, PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor. 

Ketika ditanya siapakah calon yang akan mengambil alih tempatnya di DUN Gambir selepas beliau tidak berhasrat mempertahankan kerusi itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu berkata: “Tunggu sahaja, Johor ramai calon yang berkelayakan kadang-kadang susah nak pilih sebab ramai yang layak.” 

Sementara itu Lau berkata, Gerakan menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN mengenai kerusi yang akan diagihkan kepada parti itu pada PRN Johor. 

Beliau mengakui parti itu memang berminat untuk bertanding di beberapa kawasan DUN dan telah menyerahkan senarai calon-calonnya kepada pucuk pimpinan PN, namun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Jan lepas, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini bagi menentukan tarikh PRN.— BERNAMA

Tiada ulasan: