LOR SETAR: Ketika
parti-parti politik masih membuat percaturan untuk merebut kerusi Dewan
Undangan Negeri (Dun) di Johor, sebaliknya Dewan Muslimat PAS Kedah
meneruskan misi bantuan banjir ke negeri terbabit.
Hari ini
seramai 22 sukarelawan Dewan Muslimat PAS Kedah bertolak ke Johor bagi
membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas awal bulan ini.
Ketuanya
Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, misi kali ini disertai beberapa ahli
jawatankuasa harian dewan berkenaan, Briged dan Jabatan Amal Malaysia
Kedah.
“InsyaAllah fokus kita kali ini ke Johor memandangkan negeri itu akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Misi bantuan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan musibah banjir di samping menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka,” ujarnya ketika pelepasan delegasi bantuan tersebut di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Merbau Pulas.
Sebelum ini Dewan Muslimat PAS Kedah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang.
Ashah yang juga anggota Exco Kerajaan Kedah berkata, antara barangan sumbangan kepada mangsa banjir termasuk telekung, sejadah, naskhah al-Quran, kain batik, pelikat, toto, bantal dan wang tunai.
Katanya, barangan tersebut hasil sumbangan Dewan-dewan Muslimat PAS kawasan seluruh Kedah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada penyumbang terutama Dewan Muslimat PAS kawasan yang bertungkus lumus mengumpulkan barangan untuk misi kali ini,” tambahnya.
Ketika banjir melanda Johor awal bulan ini Segamat merupakan daerah paling terjejas melibatkan 3,178 mangsa ditempatkan di 47 pusat penempatan sementara (PPS).
Daerah lain yang turut terjejas Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Tangkak dan Johor Bahru. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan