Menteri Besar (MB) dari UMNO dilihat lebih berkemampuan dan pandai mentadbir kerajaan negeri Johor, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu menyifatkan pemilihan MB Johor, Datuk Hasni Mohammad adalah tepat kerana berjaya memimpin kerajaannya dengan baik dan yakin pengundi negeri itu akan membuat pilihan yang bijak semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah lagi dah dengar retorik politik ini. (Sebab itu) Hasni (Datuk Ir. Hasni Mohammad) perlu kekuatan mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) di kala pembangkang tunjukkan tidak ada kemampuan mentadbir.
“Tiba 28 Februari 2020 bila masuk Hasni (angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-18), dia boleh pula kemudi Johor sebagai Menteri Besar dan dianggap berjaya.
“Bersatu letakkan dua orang, gagal zaman PH (letak jawatan 8 April 2019), yang kedua pula zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin (selepas Langkah Sheraton 24 Februari 2020). Failed pula tu di Johor, nama saja kubu kuat Bersatu,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Nur Jazlan berkata PRN Johor diadakan adalah disebabkan rakyat negeri itu sebenarnya sudah muak dengan retorik politik yang tidak berkesudahan sejak Mei 2018, lantas mendorong perlunya satu pilihan raya negeri dijalankan.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, dalam konteks Johor yang bersempadan dengan Singapura, negeri di selatan tanah air itu merupakan pusat ekonomi kedua penting selepas Kuala Lumpur.
“Salahkah PRN berlaku waktu ini? Tak salah kerana selari dengan keperluan dan tuntutan ekonomi demi kemakmuran dan kestabilan negeri.
“Kita pun boleh lihat, belum pun PRN Johor, pembangkang sudah pun gaduh tentang calon MB. DAP mahukan (Datuk Seri) Salahuddin Ayub, PKR pula hendakkan Dr. Maszlee Malik.
“(Pada masa sama) Bersatu dengan Pas dah berterabur. Jadi, buat apa nak buang masa tunggu 17 bulan lagi (sehingga mandat kerajaan memerintah berakhir 16 Julai 2023). Lebih baik buat sekarang (PRN), jalan terus,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan