NAJA
PAKATAN Harapan (PH) sedang bergelut untuk mendapatkan semula rentak dan momentum politiknya yang kian hilang dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Perkara ini diakui oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang berpendapat, PH termasuk partinya sendiri DAP, sedang berjuang untuk mendapatkan semula kedudukan dan momentum lamanya.
“Kekuatannya sedikit sebanyak berkurangan dalam PRN Melaka dan Sarawak.
“Dalam kedua-dua pilihan raya itu, kerusi DAP dikurangkan kepada kira-kira separuh manakala PKR kalah semuanya, manakala Amanah berjaya memenangi hanya satu kerusi di Melaka.
“Ia akan menjadi satu perjuangan yang sukar bagi PH untuk kembali kepada kekuatan dan daya tahan yang dimiliki sebelum pilihan raya umum 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ramasamy merasakan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah isu yang lebih berpengaruh berbanding logo yang digunakan oleh parti PH.
“Adalah dipersetujui dalam PH bahawa PKR akan menggunakan logo partinya sendiri manakala DAP dan Amanah akan menggunakan logo gabungan.
“PKR memandangkan prestasi buruknya pada PRN Melaka dan Sarawak berpendapat perubahan logo itu mungkin disenangi pengundi Melayu.
“Dihujahkan bahawa logo PH dibayangi era pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak pasti tentang kesan perubahan logo, namun merasakan PH secara keseluruhan pastinya terjejas oleh MoU dengan kerajaan persekutuan. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan