HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Umno tak insaf atau PAS yang hilang kopiah bila jumpa ‘pucuk muda’

Aiman Hanif

Umno tak insaf atau PAS yang hilang kopiah bila jumpa ‘pucuk muda’

ULASAN | PERTAMA saya mohon maaf kepada ahli PAS dan pendokong PAS jika tulisan saya ini mengguris hati dan perasaan mereka.

Walau pun agak sukar, namun saya rasa perlu untuk menyentuh tentang PAS yang dilihat mula hilang arah selepas mendapat kedudukan dalam kerajaan.

PAS semakin hari semakin hilang arah. PAS yang dulu dilihat bahagia bersama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) kini semakin galak menyerang Umno dengan mengikut telunjuk Bersatu.

PAS bagaikan telah lupa asas perjuangan dan sudah tidak nampak musuh sebenar mereka iaitu Pakatan Harapan (PH). Hari ini, sesiapa yang memusuhi Bersatu mereka juga musuh PAS.

Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melabel Umno sebagai “itik patah kaki” yang cuba berenang sendiri selepas disembuhkan PAS. Wah, mujarab sungguh “makjun” digunakan PAS.

Hari ini, Abdul Hadi dalam tulisannya menyerang Umno lagi, kali ini Ahli Parlimen Marang itu mendakwa Umno tidak pernah “insaf” dan terus mempengaruhi PAS dengan cara lama.

Umno tidak pernah insaf atau pemimpin PAS yang telah lupa diri. Selepas dapat jawatan dalam kerajaan kopiah pun terbang.

Barangkali PAS mungkin lupa, keberadaannya dalam kerajaan hari ini adalah disebabkan MN yang dibentuk bersama Umno. Tanpa MN mungkin hari ini PAS terus menjadi sasaran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai gelaran diberikan.

Mungkin PAS juga sudah lupa akan tangisan kegembiraan umat Melayu Islam melihat penyatuan dua parti terbesar orang Melayu Islam itu bersatu dan menamatkan persengketaan yang berpuluh tahun lamanya.

Penyatuan itu menutup segala fatwa yang dikeluarkan PAS terhadap Umno sebelum ini. Fatwa Haji Hadi telah memecah belahkan umat Islam sejak sekian lama sehingga berlakunya dua imam dalam satu masjid dan sembelihan orang Umno “haram” untuk dimakan.

Sampai ke hari ini Abdul Hadi tidak pernah menarik balik “fatwanya” itu dan perpecahan orang Melayu Islam disebabkan fatwa itu cukup ketara khususnya di Kelantan dan Terengganu. Bahkan perpecahan akibat fatwa itu turut berlaku dalam keluarga penulis.

Air mata tangisan kegembiraan orang Melayu melihat penyatuan parti terbesar umat Islam itu telah tiada nilainya bagi PAS. Ia tidak lebih sekadar wayang politik untuk meraih sokongan.

Apakah PAS tidak sedar bahawa MN yang telah membina kekuatan menyebabkan ketakutan kepada PH dan keutuhan yang dibina itu diruntuhkan Muhyiddin melalui PN, dengan mudahnya membeli jiwa PAS dengan habuan pangkat dan kedudukan.

Akhirnya, hari ini secara rasmi PAS menjadi budak suruhan Bersatu. Bersatu pula yang berdepan defisit kepercayaan rakyat terus berusaha untuk menjadi “abang besar” bagi membolehkan mereka mengawal Umno.

Ya, tidak keterlaluan laluan PAS hari ini telah hilang asas perjuangannya. PAS yang dulu sering meratib hudud dan ingin menegakkan negara Islam jika berjaya ke Putrajaya sudah tiada, hanya tinggal kenangan.

PAS kini lebih sibuk memikirkan kuasa dan kedudukan, kerusi empuk serta “Vellfire” yang mula menjadi dambaan “tok lebai” PAS.

PAS tidak lagi gemar berarak ke Padang Merbok untuk menegakkan RUU355 atau ke Dataran Merdeka bagi menentang ratifikasi ICERD.

Apa yang penting bagi perjuangan PAS hari ini adalah mengekalkan kedudukan mereka di Putrajaya serta mengumpul kereta mewah.

PAS sudah lupa tangan kawan yang menarik mereka naik sehingga mampu berdiri dengan megah di Putrajaya.

Kepada pemimpin PAS, cukuplah perdagangkan agama demi kepentingan politik kalian sehingga menyebabkan perpecahan orang Melayu Islam.

Dengan siapa anda ingin berkawan, ingin bekerjasama itu hak anda. Tapi usah bercakap soal jiwa besar kalau PRN Sarawak pun letak calon disaat rakan komponen iaitu GPS meminta parti PN tidak berbuat demikian.

PAS langsung tidak menghormati rakan, sebab itulah sejarah telah membuktikan PAS sebuah parti yang tidak setia sering bercerai bila jumpa “pucuk muda”. – Malaysiapost

(*) Penulis adalah wartawan politik berpengalaman dan sering membuat liputan tentang PAS.

Tiada ulasan: