MALAYSIA POST
KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan tindakan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas beberapa bulan menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) seperti percubaan memaksa Umno menerima Bersatu.
Beliau berkata, disebabkan itu PAS dan Bersatu tergesa-gesa mendaftar PN beberapa bulan selepas Langkah Sheraton di mana ada pemimpin PAS dilantik menjadi menteri, walaupun mereka mengetahui akar umbi Umno tidak boleh menerima pengkhianat dari partinya yang melompat ke Bersatu.
“Jika kita ‘bertunang’ dengan seseorang, tiba-tiba orang itu bertunang dengan orang lain, maka orang yang bertunang dengan orang lain itu lah yang sebenarnya pengkhianat.
“Apabila ini berlaku, pertunangan pertama itu secara automatik terbatal. Lebih-lebih lagi apabila orang itu bertunang pula dengan pengkhianat yang telah mengkhianati kita, maka berlakulah pertunangan antara dua pengkhianat,” katanya dalam hantaran Facebook.
Hari ini, dilaporkan PAS tidak menolak kemungkinan akan mengadakan muktamar khas untuk membincangkan hubungan parti itu dengan Umno sekiranya mempunyai keperluan berbuat demikian.
Menurut Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, tindakan pengkhianatan yang dilakukan sebilangan pemimpin Umno terhadap PAS termasuk dalam MN dan PN sedang diberi perhatian parti itu.
Sementara itu, Isham berkata pemimpin PAS sudah keliru dan mungkin berada dalam sindrom penafian kerana semestinya PAS tentu tahu pengkhianat sebenar adalah pelompat parti yang ramai dalam Bersatu.
Katanya, pemimpin PAS harus sedar berkenaan hal tersebut dan tidak lagi beretorik kerana rakyat bukannya tidak pandai untuk menilai taktik politik seperti itu.
“Dan ulamak sebenar tidak melabel-label orang lain dan memanggil orang lain dengan nama binatang. Usahlah cemarkan nama ulamak.
“Jika tersilap langkah, kembalilah ke pangkal jalan. Dalam Islam pintu taubat sentiasa terbuka,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan