HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Bersatu perlu buat pilihan – Nazir Hussin

MALAYSIA POST

Bersatu perlu buat pilihan – Nazir Hussin

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, digesa supaya mendapatkan kepastian daripada kepimpinan partinya sama ada mahu terus menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri atau tidak.

Gesaan itu dibuat susulan tindakannya yang berulang kali menyatakan sokongan Bersatu terhadap Perdana Menteri adalah bersyarat yang dilihat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kestabilan politik nasional mahu pun kerajaan hari ini.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata dakwaan dibuat Wan Saiful yang mendakwa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri atas sokongan Bersatu dan bukannya Umno juga tidak tepat.

Menurutnya, Ismail Sabri disokong oleh Ahli-ahli Parlimen dalam Umno, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain Ahli Parlimen.

“Bersatu sahaja tidak cukup untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Sama juga seperti Bersatu sahaja tidak mampu mengangkat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Justeru Bersatu dan semua pihak perlu sedar kedudukan Ismail Sabri didokong oleh pelbagai parti, bukannya satu parti sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sudah tentu sokongan Bersatu kepada Ismail Sabri bersyarat seperti mana juga sokongan Umno kepada Muhyiddin suatu ketika dahulu.

“Jika Wan Saiful merasakan Bersatu tidak lagi mahu menyokong Ismail Sabri maka mereka boleh mengumumkan keputusan tersebut.

“Jika Bersatu berpendapat kerajaan ini perlu kekal sehingga tamat tempoh, maka orang seperti Wan Saiful perlu bertindak seperti pemain politik yang matang, bukannya bersikap keanak-anakan, marahkan nyamuk kelambu dibakar,” tegasnya.

Nazir Hussin berkata, setakat ini Perdana Menteri telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara di sebalik kekangan kewangan kerajaan dan tekanan politik pelbagai pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, tentulah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Bersatu rasa tersepit dan terhimpit dengan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama.

“Namun ini bukan isu baharu. Sebelum Bersatu menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pun Umno telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

“Justeru faktor ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerang Perdana Menteri. Kata orang jangan lain yang bengkak, lain pula yang bernanah,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: