HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Benarkah itik patah kaki sudah sihat sepenuhnya?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Itik patah kaki masih dalam proses perawatan, jangan terlalu ghairah untuk berenang kerana dalam air buaya sedang tunggu membaham

APABILA pemimpin PAS menggunakan analogi itik patah kaki, sejurus UMNO membalas dengan analogi sama. Itik itu PAS bukan UMNO.

Rakyat makin keliru dan tertanya-tanya, siapa itik sebenarnya?

Perang mulut yang tidak berkesudahan. Letih sungguh melihat politik Melayu sebegini, tidak ada penghujung.

Yang menjadi mangsa, rakyat. Walhal demokrasi itu adalah rakyat.

Sudah tentu PRN Johor dan tidak mustahil PRN seterusnya (Kedah dan Perak), sementara menunggu PRU15. Yang susah tetap rakyat.

Elok sahaja lakukan PRU15, walaupun keadaan tidak mengizinkan. Banyak wang boleh diselamatkan untuk membantu rakyat yang susah daripada melakukan PRN demi PRN yang tidak berkesudahan.

Sebenarnya, tidak ada itik yang sihat lagi, semua masih patah kaki. Proses perawatan masih belum sembuh.

Sebab itu, jangan terlalu perasan, sudah sembuh sepenuhnya.

Cubalah berenang sendiri. Kita nak tengok, apakah kakinya benar-benar dapat mengayuh seperti sedia kala. Ini belum ditambah dengan buaya di dalam air yang sedang menunggu untuk membaham itik bila-bila masa.

Kenapa kita terlalu bimbang dengan perawat itik, tetapi tidak bimbang dengan buaya menunggu mahu membaham itik.

Kita tidak pernah matang dalam berpolitik. Politik nafsi-nafsi.

Kena ingat, kita ada peribadi berkaitan itik yang lain, iaitu asal ayam pulang ke lumbung, asal itik pulang ke pelimbahan, merujuk kepada tabiat orang tidak akan berubah. Siapa?

Satu lagi, itik berenang di laut (air), mati kehausan, bermaksud menderita kesusahan kerana tidak dapat (atau tidak mendapat kesempatan) memanfaatkan kekayaan yang ada. Siapa?

Satu lagi yang menarik, ayam itik raja pada tempatnya, setiap orang berkuasa di tempatnya atau di lingkungannya.

Bijak sungguh Melayu zaman dahulu, sudah dapat meramalkan apa yang terjadi kepada politik Melayu menggunakan analogi itik.

Siapa mereka itu? Lu fikirlah sendiri. Gua sudah letih.

Paling menakut apabila Melayu menjadi itik kehausan setelah sihat kakinya.

Apa tidaknya ketika perang mulut antara UMNO-PAS semakin rancak, parti-parti mesra BN sedang menuntut sebanyak-banyak kerusi, meskipun mereka hanya parti nyamuk seperti Makkal Sakti. Ini belum lagi MCA dan MIC.

Kita sedang melepas tali. Siapa yang mendapat laba daripada semua ini? Jawapannya sudah ada

Sebab itu, ramai yang tidak puas hati dengan artikel saya beberapa hari lalu, kerana dikatakan agak pro PAS.

Inil bukan soal pro PAS atau pro UMNO. Kita bercakap tentang realiti.

Ada orang UMNO tidak setuju bila saya membangkitkan sejarah bukti, puluhan tahun UMNO menyeksa PAS terutama di Terengganu dan Kelantan. Banyak hak negeri dipinggirkan dek kerana perbezaan politik yang berlaku.

Orang UMNO kata, itu pada zaman Tun Mahathir.

Persoalannya, siapa yang memilih pemimpin UMNO berkuasa begitu lama, lebih 20 tahun?

Jangan salah Trump apabila rakyat Amerika Syarikat memilih beliau sebagai Presiden suatu ketika dahulu.

Yang jelas salah, adalah rakyat tidak bijak memanfaatkan ruang dan peluang dalam demokrasi. Di sinilah bahayanya demokrasi yang memberikan rakyat terlalu banyak kuasa sehingga memilih pemimpin yang tidak selayaknya, seperti Trump. Akhirnya, rakyat Amerika sedar tentang itu.

Sebab itu berpada-pada berpegang kepada demokrasi.

Apakah ia tidak boleh dijadikan pengajaran dalam konteks demokrasi di Malaysia. Kenapa seorang pemimpin boleh bertahan lebih daripada 20 tahun? Siapa yang memilih? UMNO atau PAS.

Hairan sungguh, dengan orang/parti lain, UMNO/BN boleh sahaja berlembut tetapi tidak dengan PAS, sehinggakan rakyat terheret menjadi mangsa. Nikmat pembangunan tidak dapat dirasai seperti mana Pulau Pinang.

Tidak terhenti setakat itu, penjawat awam kena pindah, mohon kerja kena kerat awal-awal, anak tak dapat biasiswa-zakat, tak naik pangkat, tak dapat tetap bila dah kerja dan banyak lagi.

Jangan buat-buat lupa. Ketika bermusuhan, berapa banyak peruntukan wakil rakyat PAS kena potonv. Bukan setahun dua, tetapi memakan puluhan tahun. Rakyat menderita.

Bahkan demi kalahkan PAS, UMNO sanggup ubah sempadan menangkan BN. Negeri macam Terengganu hanya dapat 8 Parlimen. Begitu juga dengan Kelantan. Bandingkan dengan negeri-negeri lain, terutama yang ramai ultra kiasu.

Kita sanggup menyeksa sesama sendiri, akhirnya, yang untung siapa kalau bukan ultra kiasu?

Tulisan ini bukan bermaksud, nak ungkit apa yang berlaku, tetapi UMNO perlu sedar, kegersangan hati PAS bukan tanpa asas. Apatah lagi jika dilihat dalam konteks Pantai Timur. UMNO kenalah bayar balik harga puluhan tahun menderita itu dengan memberikan sedikit rasa keyakinan pada PAS.

Justeru, UMNO perlu lakukan muhasabah segera, jangan terlalu angkuh dan sombong, melalui kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan tanpa menoleh, mengimbau sejarah hitam yang ditinggalkan kepada PAS.

Justeru, UMNO perlu lebih berani membuktikan mereka lebih mesra PAS dari PPBM. UMNO jangan cuba berlagak nak tekan PAS macam dulu-dulu.

Akhirnya PAS menang negeri, UMNO bergadai negara. Sekadar terlepas negeri, sedap hati lagi. Terlepas negara bagaimana? Sudah lupa 22 bulan?

Bila UMNO susah, PAS datang menghulur tangan, kerana agama dan bangsa. MCA siap keluar kenyataan keluar BN. Kini UMNO jilat balik MCA kononnya mahukan undi Cina dan mahu menunjukkan UMNO warna warni

Saya sudah bercakap tentang politik Melayu. Lebih baik fokus kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak kerana mereka jauh lebih matang dalam berpolitik.

Sebagai penutup, hampir terlupa, ada satu lagi peribadi tentang itik yang mesti dijadikan pedoman, bijak sungguh Tuan Guru Hadi Awang dalam menggunakan analogi itik. Satu lagi itik adalah, ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

Dalam konteks yang lebih besar peribadi ini membawa maksud, hidup rakyat masih miskin dalam sebuah negara kaya raya.

Sedar atau tidak, kenapa perkara ini masih berlaku? Siapakah yang menyebabkan ia berlaku Siapakah yang dapat manfaat daripada kekayaan itu? Sendiri mahu fikir…

Ingatlah, sebenarnya semua itik belum sihat sepenuhnya. Perlukan perawatan antara satu sama lain. Pokoknya, jangan bongkak dan sombong. Jangan syok sendiri untuk berenang. Dibimbangi dibaham buaya.

Tiada ulasan: