HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Februari 2022

Strategi pembangkang fokus serang PAS dan Bersatu, rela UMNO berkuasa


Berbanding serangan kepada UMNO kebiasaannya akan diserang parti pembangkang, nampaknya berlainan sedikit kali ini apabila fokus kecaman lebih tertumpu kepada PAS dan Bersatu.

Strategi sama digunakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dipelopori pencatur utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikitar semula dan digunakan sebelum menjelang PRN Johor dan nampaknya merelakan untuk UMNO terus berkuasa sama ada di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Anwar yang juga Presiden PKR bersama-sama pengikut fanatiknya semakin galak mengkritik PAS dan Bersatu, pelbagai tuduhan dan kecaman dihamburkan kepada dua parti tersebut dan mengambil kesempatan terhadap krisis dalaman melibatkan parti komponen kerajaan pusat.

Seakan terdapat satu persefahaman antara Anwar dengan UMNO atau mungkinkah kisah cinta cikgu dan anak muridnya kembali bertaut, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tidak mustahil bait-bait rindu kedua-duanya masih dirasai.

Harapan Anwar dengan menyerang PAS dan Bersatu, sekurang-kurangnya ia akan dapat memberi mereka sedikit peluang untuk memenangi kerusi yang sebelum ini ditandingi kedua-dua parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Anwar sangat bimbang untuk menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri yang dimerterai sebelum ini, bimbang elaun dan keistimewaan jawatan Ketua Pembangkang yang setara dengan Menteri itu ditarik balik selepas ini.

Jadi, tidak hairanlah Anwar lebih memfokuskan untuk terus mengekalkan UMNO sebagai sebuah kerajaan dominan di negeri tetapi tidak mahu menyerang di peringkat pusat, bimbang pembangkang akan kalah teruk dan beliau hilang segala manfaat yang diperolehnya hasil MoU tersebut.

Lebih teruk lagi, Anwar yang dahulu melaung-laungkan melawan ‘scheme of things’ nampaknya kini bertukar pula sebagai penyokong kuat ‘scheme of things’ dan lebih tidak bermaruah lagi menerimanya dibawah kerajaan dikuasai UMNO yang dahulunya ditentangnya habis-habisan.

Terbaharu, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail mengkritik PAS dan mengambil sikap membela UMNO berhubung isu gelaran ‘itik patah kaki’ oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap UMNO baru-baru ini.

Azan tidak mengkritik UMNO tetapi menjadi penasihat kepada parti tersebut, malah menyifatkan tindakan PAS tersebut sebagai tidak wajar.

“Melihat kepada percakaran pimpinan Umno selepas parti mereka digelar sebagai ‘itik patah kaki’, saya mahu nasihatkan mereka supaya tidak terkejut dengan sikap pemimpin PAS.

“Label-melabel dan memberi gelaran sudah menjadi amalan PAS sejak sekian lama, ia perkara biasa dan yang luar biasa PAS juga boleh mungkir janji di sebalik muafakat dan perjanjian,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Sementara itu, seorang pemimpin Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad pula berkata PAS nyata tidak belajar daripada kesilapan sebelum ini semasa era Almarhum Presiden, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang menasihati supaya tidak menjalin kerjasama dengan UMNO.

“Kalaulah pesanan almarhum tentang ‘jangan digigit ular dari lubang yang sama’ itu diingati dan dipatuhi PAS, tidak akan timbul kisah ‘itik patah kaki meninggalkan kawan setelah sembuh’ seperti sekarang.

“Pengajaran daripada kisah ular ganas lagi berbisa berwarna biru itu patut menjadi ingatan kepada PAS kerana parti itu telah digigit dua kali, iaitu di Terengganu dan Kelantan,” katanya dipetik laporan sama.

Setakat ini, Anwar juga masih dilihat bernada lembut dengan UMNO, malah tidak ada sebarang kecaman atau kritikan seperti kebiasaan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu.

Namun, timbul spekulasi disebalik keputusan PKR mahu menggunakan lambang sendiri dalam PRN Johor adalah hasil persetujuan dengan pimpinan sebuah parti lain, adakah Anwar sekali lagi mengikut telunjuk anak muridnya dalam membuat keputusan tersebut.

Jika benar, nampaknya Anwar sekali lagi mempermainkan DAP dan Amanah dengan mencatur strategi secara diam-diam dibelakang tanpa mengadakan sebarang perbincangan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Mungkin Anwar melihat strateginya itu akan memberikan kemenangan besar kepada PKR tanpa melihat realiti yang berlaku semasa PRN Melaka dan Sarawak tempoh hari.

Tiada ulasan: