MALAYSIA POST
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) menafikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin membuat permohonan untuk menyertai parti baharu itu.
Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad, berkata parti itu baru selesai mengadakan mesyuarat majlis tertinggi.
“Setakat ini, tiada nama Zuraida dalam senarai permohonan ahli baru PBM,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mana-mana permohonan akan dibincang untuk diluluskan dan mesyuarat majlis tertinggi parti dan biro politik, lapor Free Malaysia Today.
“Keahlian PBM sedang rancak kerana agenda baru yang kami tawarkan jauh lebih segar, bertenaga dan tidak menyusuri kerangka perkauman yang lama,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan perbincangan berhubung isu pemecatan Zuraida dan individu lain dalam parti itu yang didakwa terlibat dengan PBM.
PBM merupakan parti politik baharu dan ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan Ahli Parlimen Ampang itu.
Perbincangan itu disahkan ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang memberitahu isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.
Dalam pada itu, mengulas lanjut Hizwan berkata PBM tidak akan mencampuri urusan dalaman Bersatu.
“Justeru, saya tidak ada keperluan untuk campur tangan urusan dalaman Bersatu, biarlah mereka selesaikan antara mereka,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan