HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Legasi politik Muhyiddin dibuang dalam ‘bakul sampah sejarah’ – Hassan

MALAYSIA POST

Legasi politik Muhyiddin dibuang dalam ‘bakul sampah sejarah’ – Hassan

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengkritik bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana peranannya dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin itu mengimbas kembali bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mungkir janji untuk menyerahkan jawatan tertinggi kepada Presiden PKR datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia menyebabkan Bersatu keluar daripada gabungan PH yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Muhyiddin kemudiannya menyingkirkan Mahathir daripada Bersatu, yang memberi laluan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri kelapan negara.

“Apakah balasan perbuatan Muhyiddin yang mungkir janji itu?

“Muhyiddin tidak kekal lama sebagai perdana menteri. Hanya setahun lebih sahaja iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana rakyat terkurung, parlimen digantung dan Darurat diisytiharkan di seluruh negara.

“Kemudian sampai masa giliran Muhyiddin pula ditumbangkan. Kini giliran Umno pula menggulingkan Muhyiddin. Lima belas orang ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin di Parlimen.

“Muhyiddin terpaksa letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin runtuh seperti daun terup menyembah ke bumi.

“Demikianlah pengajaran kepada Mahathir dan Muhyiddin,” katanya memetik portal MalaysiaKini.

Hassan berkata, tindakan politik yang tidak beretika dan mungkir janji telah menyebabkan legasi politik Dr Mahathir dan Muhyiddin dibuang ke dalam ‘bakul sampah sejarah’.

Kenyataan Hassan itu susulan perbalahan antara Pas, Umno dan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pergeseran antara Pas dan Umno semakin ketara sejak PRN Melaka November lalu, yang menyaksikan kedua-dua parti bersaing sesama sendiri. Akhirnya Umno menang dan PAS ditewaskan.

Berikutan itu, terdapat usaha baru oleh Pas untuk mengadakan pakatan pilihan raya bagi PRN Johor akan datang tetapi Umno dilihat tidak tertarik dengan idea itu. – Malaysiapost

Tiada ulasan: