ANALISIS
FAKTANYA Barisan Nasional (BN) adalah parti favourite untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
UMNO juga yakin arus kemenangan di PRN Melaka akan mengalir pula ke Johor – negeri kelahiran parti tersebut justeru mereka teruja untuk bertanding secara solo.
BN dan UMNO mendakwa parti-parti lain tidak sekukuh mereka memandang ada yang sedang berantakan kerana isu logo. Maknanya, peluang BN untuk kembali berkuasa secara mutlak di Johor memang cerah tetapi ada satu hal yang menimbulkan persoalan, kenapa masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO tidak habis-habis mahu ‘menyerang’ Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penulis malas nak sebut nama pemimpin-pemimpin tersebut… bukan apa yang dok berbuat demikian di kawasan sendiri pun kalah dalam pilihan raya dan ada pula dah dua penggal kerusi Parlimen di kawasan sendiri dikuasai oleh pembangkang. Tetapi yang peliknya bercakap dan serang Muhyiddin macamlah mereka hebat sangat. Kalau hebat sangat PRN nanti tandinglah di DUN masing-masing.
Paling aneh, dok kata Bersatu tidak ada jentera, Bersatu tak ada akar umbi, Muhyiddin gagal tetapi cara mereka ‘serang’ macam takut kan hantu.
Soalnya adakah kerana pemimpin-pemimpin UMNO itu mula menyedari Bersatu dan Muhyiddin boleh menjadi ancaman kepada mereka di Johor? Kenapa ada pemimpin UMNO tidak jaga kawasan sendiri daripada dok menyibuk soal poster boy PN? Ikut suka PN la nak pakai poster boy sapa pun..
Bersatu taklah macam UMNO…baru dengar saja nama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut sebagai poster boy BN dalam PRU-15…dah ada yang melompat macam Saddiq Segaraga?
Sebenarnya, semua orang boleh menjangkakan apa misi UMNO di Johor, selain mahu menguasai kerajaan negeri itu sekaligus menebus kekecewaan setelah ditolak rakyat dalam PRU-14, UMNO juga mahu melemahkan Bersatu dan Muhyiddin dengan kemenangan di negeri tersebut.
Mungkin disebabkan impian inilah maka beberapa pemimpin UMNO begitu ghairah sekali menyerang Bersatu dan Muhyiddin. Tindakan dua ADUN Bersatu yang mengumumkan keluar daripada parti itu dijadikan ‘peluru’.
Ada pemimpin kanan UMNO menganggap ia menunjukkan Muhyiddin berhadapan dengan krisis keyakinan, kalau begitu macam mana rakyat mahu memberi kepercayaan kepada Bersatu dalam PRN Johor. Tunggu sekejab, penulis nak tanya…kenapa UMNO tidak membuat pemilihan parti bagi membuktikan sama ada Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi masih diyakini oleh ahl-ahli UMNO atau tidak?
Penulis bertanya sebab khabarnya dalam UMNO ramai yang mahukan pemilihan diadakan sebelum PRU-15, bagaimanapun keadaan itu tidak berlaku kerana kata Ahmad Zahid hanya enam bahagian sahaja mahu pemilihan awal.
Apapun itu soal UMNO nak buat atau tidak pemilihan walaupun ada ahli-ahli UMNO mengharapkan ia diadakan bagi bagi memastikan parti tersebut masuk ke gelanggang pilihan raya tanpa pemimpin yang ada masalah atau ‘berparut’. Tetapi tidak payahlah segelintir pemimpin parti itu ghairah sangat ‘menyerang’ Muhyiddin, percayalah ‘serangan’ seperti itu tidak akan menjadi ‘kudis’ kepada beliau dan Bersatu.
Ia memandangkan rakyat sekarang bukan macam dulu, mereka sudah bijak mementukan parti mana yang akan dipilih. Dan mereka juga tahu, pemimpin mana yang ibarat ‘tin kosong’ – bunyi kuat ‘isi habuk pun tarak’.
Jadi kepada pemimpin-pemimpin UMNO jangan kelam kabut sangat nak memburuk-burukkan Muhyiddin. Percayalah PRN Johor tidak sama dengan PRN Melaka. Segala-galanya berkemungkinan, apatah lagi khabarnya semua parti dan penyokong mereka sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan ketika di Melaka.
Oleh itu, kalau UMNO mahu memastikan tiada apa-apa di luar jangkaan berlaku, maka tidak perlulah ‘menyerang’ Muhyiddin dan ‘menyibuk’ soal Bersatu kerana hanya orang yang takut bayang-bayang sahaja buat perangai hodoh macam tu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan