HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Kluster mahkamah memalukan negara, kata jurucakap PAS

MALAYSIA NOW
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (empat dari kiri) bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan beberapa pimpinan Barisan Nasional lain di Perhimpunan Agung Umno Mac tahun lalu.

Jurucakap PAS menyifatkan “kluster mahkamah” sebagai sekumpulan ahli politik yang memalukan negara, ketika parti Islam itu mula menjarakkan diri dari kem Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi selepas tiga tahun dua blok politik Melayu iterbesar itu memeterai gencatan politik.

Malahan, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam turut membayangkan parti itu mungkin melaksanakan muktamar luar biasa bagi menilai semula Muafakat Nasional (MN) sebuah piagam yang dimeterai antara PAS dan Umno yang bersetuju untuk bekerjasama pada 2019 selepas beberapa dekad berseteru dalam usaha mereka menguasai undi Melayu.

“Satu dunia tahu bagaimana malunya apabila kita berdepan dunia dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa yang berlaku zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu dan dihukum oleh rakyat pada PRU14,” kata Khairil dalam sebuah program bual bicara bersama rakan sejawatnya dari Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

“Dan mereka-mereka ini jugalah yang dilihat mengganggu kestabilan politik negara ini,” katanya lagi merujuk pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib berkait skandal 1MDB.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin.

Najib, Zahid dan beberapa ahli politik Umno yang menjadi sebahagian daripada kerajaan BN mendapat gelaran “kluster mahkamah” berikutan ratusan pertuduhan jenayah yang dihadapi mereka sejak 2018.

Akhir tahun lalu, Mahkamah Rayuan berkata sabitan bersalah Najib berhubung dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di mana beliau berdepan hukuman 12 tahun penjara adalah satu perkara yang “memalukan negara”.

“Tidak ada kepentingan negara ketika RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib, ia hanya memalukan negara,” kata hakim Abdul Karim Abdul Jalil ketika membaca kenyataan penghakimannya pada 8 Disember lalu.

Kumpulan “kluster mahkamah” juga merupakan dalang di sebalik tumbangnya pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin ketika krisis Covid-19 memuncak dalam negara pada Ogos tahun lalu.

Terbaru, Zahid dan pemimpin Umno yang bersekutu dengannya dikatakan sedang merancang untuk mencetuskan pilihan raya negeri (PRN), susulan kemenangan besar Umno di Melaka.

Khairil yang beberapa kali menyuarakan bantahan PAS terhadap sebarang langkah untuk membubarkan kerajaan negeri bagi mengelak pilihan raya diadakan, berkata jenayah yang dilakukan kluster mahkamah sudah menjadi maklumat yang sudah direkodkan dengan baik dan satu langkah yang salah untuk mengembalikan mereka ke tampuk pentadbiran kerajaan.

“Kluster mahkamah bukan satu roket sains. Ia adalah maklumat yang boleh kita akses di mana-mana. Maruah Malaysia tergadai kerana kejahatan pemimpin-pemimpin ini,” katanya sambil menambah tidak semua pemimpin Umno berada dalam kalangan golongan tersebut.

Menurut Khairil, kerjasama PAS dengan parti-parti lain adalah berdasarkan prinsip yang digariskan Majlis Syura PAS yang terdiri daripada ulama kanan Islam.

Katanya, sebarang keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Umno kerana tidak sehaluan dengan kluster mahkamah akan melalui proses sama dengan merujuk pemimpin parti itu.

“Kalau ditanya pada saya bilakah turning point kepada PAS (untuk putuskan hubungan dengan Umno), ia memerlukan kepada prosedur, perkara ini sedang dalam penelitian, jika ia diangkat secara kuat, barangkali akan berlakunya muktamar khas, untuk perbincangan kembali dan diangkat kertas kepada Majlis Syura Ulama bagi penentuan terhadap dasar,” kata Khairil.

Ulasan Khairil itu tampil selepas lima hari bidasan tegas yang senada dikeluarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menentang percubaan pemimpin Umno yang mahu memaksa PRN diadakan.

“Kita tahu yang buat strategi ini adalah kluster mahkamah, kluster yang kalah PRU14, kluster yang tidak ada jawatan, bukan semua dalam Umno.

“Kalau kita ada moral, lawan di mahkamah, bukan susahkan rakyat, nak selamatkan diri, susahkan rakyat,” kata Hadi pada Jumaat lalu menjelang program muzakarah bersama pemimpin Bersatu.

Tiada ulasan: