HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

‘Saya sudah lupakan MN, tak perlu ungkit lagi’ – Muhyiddin

MALAYSIA POST

‘Saya sudah lupakan MN, tak perlu ungkit lagi’ – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan partinya telah membuat keputusan tidak menyertai Muafakat Nasional (MN), gabungan Umno dan PAS.

Beliau berkata, ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno, oleh itu partinya tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno.

“Saya sudah lupakan Muafakat Nasional. Tak perlu diungkit-ungkit lagi.

“Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional.

“Umno pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca MN gagal.

Katanya, Najib sepatutnya muhasabah diri dan mempunyai sedikit rasa malu dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang memesongkan fakta demi kepentingan politik peribadinya.

“Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal.

“Saya fikir Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu,” katanya.

Sebelum ini, Najib mendakwa kegagalan MN berpunca daripada pengkhianatan Bersatu semasa PRN Sabah, malah memfitnah kononnya calon Bersatu diletak untuk melawan calon UMNO semasa PRN tersebut.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan dakwaan Najib tersebut sebagai satu lagi pembohongan yang dicipta walhal faktanya tidak ada satu pun kerusi yang menyaksikan Bersatu bertembung dengan Bersatu semasa PRN Sabah lalu.

“Faktanya tidak ada satu pun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.

“Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN (Barisan Nasional) dan PBS untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah. Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

“Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” katanya lagi.

Di akhir kenyataan itu, Muhyiddin secara peribadi menyatakan berasa malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai pemimpin. – Malaysiapost

Tiada ulasan: