HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

PRN Johor: ARMADA harap PN tampil 30 peratus calon muda

Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (duduk tengah) pada sidang media di Pagoh, Muar, Johor, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (duduk tengah) pada sidang media di Pagoh, Muar, Johor, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

PAGOH: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mencadangkan 30 peratus calon Perikatan Nasional (PN) yang akan dinamakan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, ditampilkan dari kalangan orang muda yang berkaliber dan dekat dengan hati pengundi.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata jumlah 30 peratus berkenaan meliputi 17 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat boleh memberi impak bagi menarik undi golongan muda di negeri berkenaan.

"Bagi ARMADA sahaja, kita cadang lima kerusi, bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan PN. ARMADA sebahagian daripada komponen Pemuda PN, maka calon anak muda tidak semestinya daripada ARMADA sahaja, mungkin Pemuda PAS, GERAKAN dan sayap-sayap bersekutu," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat ARMADA Pusat bersama ARMADA bahagian, di sini hari ini, beliau berkata, calon-calon yang akan diketengahkan ARMADA terdiri daripada pemimpin belia yang berpengalaman luas dalam menyantuni penduduk dan telah berbakti di kawasan mereka.

"Di peringkat ARMADA Pusat, kami sudah menerima cadangan-cadangan daripada ARMADA bahagian di seluruh Johor untuk dipertimbangkan Biro Politik BERSATU. Selain itu, terdapat tiga isu utama yang menjadi perhatian ARMADA yang dilihat menjadi tumpuan golongan muda, iaitu pekerjaan yang bermaruah, pendidikan dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Ditanya kemungkinan ARMADA sukar untuk mendekati anak muda jika prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka digunakan di Johor, beliau mengakui perkara itu dan menyifatkan SOP konservatif seperti tidak boleh memakai baju parti dan sebagainya menyukarkan anak muda mengenali PN.

"Ia menyukarkan kita untuk menyantuni orang muda, mereka yang pertama kali mengundi dan mungkin belum begitu kenal dengan PN," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata, ARMADA berharap agar saluran rasmi turut membenarkan pemimpin muda, tidak kira parti untuk berdebat mengenai isu semasa, khususnya melibatkan orang muda, manakala pemimpin senior yang enggan berdebat disyorkan memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk berkongsi pentas.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang pemimpin muda membicarakan masalah rakyat Johor, masa depan anak muda dalam demokrasi Malaysia, masalah integriti dan sebagainya. Sudah tiba masanya demokrasi di Malaysia ini diberi ruang yang luas untuk kita berkongsi pandangan secara sihat dan itulah semangat demokrasi sebenarnya," katanya.

Tiada ulasan: