HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Februari 2022

BN jangan terlalu yakin menang

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun menang besar dalam PRN Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PRN Johor bukan pilihan raya yang biasa, namun amat istimewa untuk menjulang semula nama BN, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ramai musuh politik BN yang berdepan dengan kekalahan sebelum ini, sudah tentu akan menjadikan Johor sebagai gelanggang untuk mereka menebus malu.

"Saya lihat berpusu-pusu jentera kita dengan penuh semangat datang malam ini. Dalam hal ini, kita pula jangan terlampau yakin walaupun kita menang banyak PRK (pilihan raya kecil), PRN Melaka dan rakan kita di Sarawak.

"Jangan pandang ringan strategi dan langkah yang akan dilakukan oleh mereka. Tetapi, saya yakin jentera BN amat tersusun dengan komitmen tinggi, semangat perkasa. Maka, tiada sebab BN tak boleh menang dan jadi kerajaan semula di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan Hasni akan dilantik semula sebagai Menteri Besar, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri nanti.

"Saya juga ingin pesan, tidak penting calon dari parti mana kerana apa yang penting mereka mewakili BN yang kesemua parti wajib menyokong. Tak kira dari mana.

"Selain itu, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbeza pendapat dan berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan tidak kira ia bersifat peribadi atau rasmi, demi menjaga hati rakan-rakan dalam komponen," katanya.

Tiada ulasan: