HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Umno masih tidak insaf paksa PAS dengan pendekatan lama – Hadi

MALAYSIA POST

Umno masih tidak insaf paksa PAS dengan pendekatan lama – Hadi

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Umno masih tidak insaf terhadap kesilapannya memaksa PAS dengan pendekatan yang salah.

Beliau menegaskan, sudah terang lagi bersuluh PAS mahu mahu mengembalikan Umno ke pangkal jalan perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

Katanya, pada masa sama PAS tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Bersatu.

“Akan tetapi, Umno masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu.

“Dalam pada itu, turut meminggirkan masyarakat majmuk yang telah gagal melalui pendekatan barisan Nasional (BN) yang sudah tidak relevan lagi hari ini.

“Semua mengetahui mengapa Umno mahukan PAS sahaja dan PAS sekali-kali tidak boleh diperbodohkan dalam politik yang sempit,” kata beliau dalam tulisan Minda Presiden PAS di laman Facebook hari ini.

Abdul Hadi berkata, dalam pendekatan yang berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, PAS terlebih dahulu mengadakan hubungan dengan Bersatu yang ketika itu masih berada dalam kerajaan.

Tambah beliau, demikian itu disebabkan oleh kedudukan sebahagian pemimpin Bersatu sebelumnya bersama Umno, yang bertindak keluar parti ketika Umno sedang bermasalah dalam pentadbiran kerajaannya sehingga jatuh kerajaan itu.

“PAS menolak tawaran untuk bersama PH yang salah hala tujunya. Malah, tidak bersama Umno melalui pendekatan BN yang telah bocor bahteranya kerana PAS tidak mahu tenggelam bersama mereka.

“Walaupun terdapat segelintir ahli PAS yang digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju PAS, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya, atau terpelanting jatuh disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu.

“Namun, para pemimpin yang setia kepada perjuangan PAS dan ahli-ahli yang memberikan wala’ dan taat secara tidak membabi buta, terus melayari bahteranya hingga sampai ke destinasi dengan izin Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata tindakan Umno yang seolah-olah mengetepikan PAS umpama itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Menurut Abdul Hadi, PAS sentiasa berjuang untuk meneruskan MN dan juga PN bagi menyatukan seluruh masyarakat majmuk, bukan orang Melayu sahaja.

Kata beliau, terdapat surat yang telah ditandatangani untuk menjemput Bersatu menyertai MN kerana padanya, BN sudah tidak lagi relevan.

Sementara itu, dalam tulisan yang sama Abdul Hadi menegaskan PAS tidak pernah kecewa atau hilang perhitungan politik disebabkan kekalahan Pilihan Raya Umum.

“Sekalipun, pernah hilang wang pertaruhannya atau terdapat ahlinya yang tercicir dalam perjalanan.

“Namun, ahlinya tetap bertambah, manakala kawasan dan cawangannya pula semakin meningkat, bahkan gerak kerjanya terus maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, ia kerana akidah perjuangan Islam pemimpin PAS sangat teguh dan kuat, sehingga terpahat dalam perlembagaannya dan ditanam dalam hati ahlinya yang setia. – Malaysiapost

Tiada ulasan: