HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Februari 2022

Siapa calon MB dari PH belum dibincang – Anwar

Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran jentera AMK sempena PRN Johor di Johor Bahru hari ini./ Gambar FB Anwar Ibrahim

PAKATAN Harapan (PH) belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon Menteri Besar, sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH yang juga Presiden PKR itu berkata apa yang lebih penting pada masa ini adalah untuk membincangkan soal memastikan kemenangan PH pada pilihan raya itu.

“Soal calon (untuk bertanding) pun belum putus…calon-calon setakat ini orang Johor dan yang ada keluarga di Johor, saya pun ada keluarga di Johor…tapi saya tidak (bertanding),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) PRN Johor hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin mengenai kemungkinan PH akan meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, yang juga bekas Menteri Pendidikan sebagai calon Menteri Besar Johor.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Anwar berkata rundingan kerjasama itu kini dibuat di peringkat kepimpinan negeri dan setakat ini MUDA belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Semalam, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata perbincangan dan rundingan antara MUDA dengan PH berhubung kerjasama dalam PRN Johor, disifatkan berjalan lancar.

Sementara itu pada majlis berasingan, Anwar berkata rakyat seharusnya menolak wakil rakyat yang melompat parti dan menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat parti.

“Masa berkempen orang bekerja (jentera) setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat… jangan maafkan orang begini.

“Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip, ini maruah dan integriti serta nilai etika (yang) kita tidak boleh ketepikan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, di sini hari ini.— BERNAMA

Tiada ulasan: