HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Isu status Zuraida, tunggu keputusan parti: Wan Saiful


Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Bersatu untuk membuat keputusan melibatkan spekulasi yang dikaitkan dengan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata perkara itu sememangnya dibincangkan dalam mesyuarat parti, namun sebarang pendirian dan keputusan melibatkan status Zuraida dalam parti hanya akan diputuskan pucuk pimpinan dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi selepas ini dalam isu tersebut.

“Macam-macam spekulasi mengenai YB (Yang Berhormat) Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti saya rasa isu dibincang dalam mesyuarat kita kekal dalam mesyuarat.

“Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripda parti kalau ada apa-apa (perkara), kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.

Beliau terdahuliu berceramah dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar malam tadi.

Zuraida didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kepimpinan Bersatu baru-baru ini dilaporkan ada berbincang isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit.

Memetik laporan sebuah portal, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memberitahu, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan sehingga kini Zuraida masih kekal sebagai anggota MPT Bersatu dan ahli parti itu serta meminta semua pihak menunggu perkembangan selanjutnya.

Malah beliau berkata, isu berkaitan Zuraida sama sekali tidak menjejaskan perjalanan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: