HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

'Wan Saiful patut henti jadi ejen pemecah belah'

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan

KUALA LUMPUR: UMNO membidas dakwaan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa parti itu tidak mencalonkan naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, sebaliknya dicalonkan oleh BERSATU.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan, menyifatkan dakwaan Wan Saiful itu adalah serangan kepada UMNO, bertujuan memecah belahkan parti itu terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.

Shahril berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat pada 17 Ogos 2021 bagi memutuskan calon Perdana Menteri dan dengan restu serta persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO serta BN hanya menghantar satu nama calon iaitu Ismail Sabri.

"Tidak ada pertikaian, Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kerana UMNO mencalonkan beliau sebagai satu-satunya calon. Kenyataan Wan Saiful ini bukan kali pertama bagi beliau menyerang UMNO tetapi sudah berkali-kali.

"Kenyataan balas saya beberapa minggu lalu jelas membuktikan sekali lagi, BERSATU sudah mula kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri dan kenyataan begini hanya dibuat kerana PRN Johor makin dekat," kata Shahril dalam kiriman di Facebook, hari ini.

Wan Saiful sebelum ini, mendakwa kumpulan yang mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah BERSATU, bukannya UMNO, selain menyatakan sokongan BERSATU adalah bersyarat, termasuk tiada kompromi apabila membabitkan isu integriti dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.

Selain itu, Shahril berkata, tuduhan yang UMNO kemungkinan akan memilih Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri juga tidak tepat dan menunjukkan Wan Saiful kurang faham dengan semangat parti yang bermusyawarah sebelum membuat keputusan.

"Tidak pernah sekali pun Presiden UMNO tuntut dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Inilah realitinya semasa runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ini juga terjadi semasa Perdana Menteri bertukar, malah pada 16 Ogos 2021, Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan, tidak pernah terlintas untuk beliau menamakan diri sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai parti terbesar negara.

"Ini jelas sekali lagi yang UMNO memilih Perdana Menteri sebagai calon selepas mesyuarat memutuskannya dengan sebulat suara," katanya.

Mengenai tuduhan 'kluster mahkamah' yang menyebabkan PRN dijalankan, Shahril berkata, BERSATU sendiri yang sebelum ini mengugut untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

"Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sendiri berkata, 'Saya tekan butang sekarang, jatuh kerajaan Johor'. Bukan kerana 'kluster mahkamah' PRN ini dijalankan tetapi kerana keadaan rapuh di Johor yang antaranya disebabkan BERSATU sendiri.

"Justeru, Wan Saiful perlu berhenti menyemai benih kebencian, menjadi ejen pemecah belah dan menumpukan tenaga beliau ke arah menjual tawaran parti beliau sempena PRN Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi," katanya.

Tiada ulasan: