HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

Hakim jatuhkan hukuman kes SRC Najib dilantik Hakim Mahkamah Rayuam


Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang sebelum ini mengendalikan dan bertanggungjawab menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Najib Razak kini dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Surat cara pelantikan Nazlan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini, menurut laporan dipetik portal.

Selain itu, Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan kepada Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Mohamad Zabidin sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik pada 28 Julai 2006 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 26 November 2018.

Turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mohd Nazlan pula pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman mulai 10 April 2015 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017.

Beliau mempengerusikan panel hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Najib membabitkan kes SRC International.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International pada 28 Julai 2020.

Tiada ulasan: