HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

PRN Kedah, Zahid kata tiada keperluan seperti di Melaka dan Johor


Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tiada sebarang faktor dan keperluan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah untuk memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) diadakan seperti yang berlaku di Melaka dan Johor.

Zahid berkata setakat ini tidak dapat meramalkan keadaan politik di Kedah memandangkan ia dikuasai PAS, namun sekiranya ia berlaku (bubar DUN) ia mungkin kerajaan PAS yang dipimpin Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor merasakan rakyat sudah menolak pentadbiran mereka.

“Saya tak dapat menelah kedudukan di negeri Kedah kerana negeri itu dikuasai oleh Pas.

“Mengikut Undang-undang Tubuh sesebuah negeri, seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri akan menasihatkan baginda tuanku untuk memberikan nasihat sama ada sesebuah DUN perlu dibubarkan untuk memanggil PRN.

“Saya tak nampak ada faktor untuk DUN (Kedah) dibubarkan kecuali Menteri Besar dan partinya merasakan rakyat telah menolak pentadbirannya, maka, itu adalah merupakan perkiraan kepada parti berkenaan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Zahid ditanya mengulas khabar angin mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun kenyataan Zahid tersebut dilihat sedikit berbeza semasa PRN Melaka dan Johor diadakan, ia memandangkan kedua-dua negeri tersebut diperintah UMNO tetapi tetap membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi situasi di Kedah, Zahid berkata jika PAS mengadakan PRN Kedah, ia mungkin kerana rakyat menolak mereka. Jadi, adakah di Melaka dan Johor, PRN terpaksa diadakan kerana rakyat menolak mereka?

Tiada ulasan: