HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Februari 2022

Tidak perlu pertikai kesetiaan Pas - Muhyiddin

Shuhada Abdul Kadir
 
Tidak perlu pertikai kesetiaan Pas - Muhyiddin
MUHYIDDIN: Di Johor, PN sudah tetapkan kerusi yang akan ditandingi atas nama PN. Kita tidak sebut Pas, Bersatu atau Gerakan. - Gambar fail
 
PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kesetiaan Pas dalam gabungan parti itu terutamanya bagi menghadapi PIlihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak perlu dipertikaikan.
 
Ini kerana Pas sudah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak awal penubuhan gabungan berkenaan sebelum turut disertai Parti Gerakan Rakyat Semalaysia (Gerakan).

“Pas adalah (antara) pengasas PN. Apabila saya (Bersatu) tubuhkan (PN), parti Gerakan turut sertai gabungan ini, dan sehingga hari ini Pas masih kekal bersama perikatan ini.

“Jadi, janganlah pertikai atau persoalkan kesetiaan ataupun sikap istiqamah Pas bersama PN.

"Dan kita juga baru selesai mengadakan muzakarah serta membentangkan resolusi dan komitmen parti-parti komponen ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Rakyat PN di Dataran Pagoh Jaya, di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, diminta mengulas beberapa kenyataan mendakwa Pas masih membuat pertimbangan untuk bersama Barisan Nasional (BN), dan bukan PN, pada PRN Johor nanti, beliau menjelaskan, senario di Johor berbeza.
 
“Di Johor tidak begitu. Kerana, semuanya sudah dimuktamadkan. Dan bermakna, kita (PN) sudah tetapkan kerusi yang kita akan bertanding atas nama PN. Kita tidak sebut Pas, Bersatu atau Gerakan.
 
“Kita (PN) tahu siapa musuh yang harus kita hadapi. Itu semua sudah selesai. (Jadi) tidak adalah isu berbangkit di kalangan kita,” katanya.
 
Sementara itu, Muhyiddin berkata, agihan kerusi antara parti komponen PN yang akan melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan selesai hujung minggu ini.
 
Jelasnya, beliau mengharapkan parti-parti komponen dapat memberikan tumpuan penuh kepada kawasan yang diberikan bagi menumpukan kemenangan pada PRN nanti.
 
PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Feb ini.

Tiada ulasan: