HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Februari 2022

ULASAN: KJ, Syed Saddiq dibuli, difitnah tak ada report polis pun

Tok Akhi

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq 

Syed Abdul Rahman, dua anak muda yang berfikiran lebih terbuka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, seorang menteri dan pemimpin yang lebih muda dilihat lebih terbuka menerima kritikan atau dibuli oleh pengkritik dan netizen media massa serta media sosial.

Malah, Khairy atau KJ dilihat menjadi mangsa kecaman dan fitnah selain berita palsu yang dimainkan laskar siber UMNO sendiri sejak beliau diangkat menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Lebih teruk lagi beliau menjadi mangsa kecaman dan kutukan dengan pelbagai kata nista ketika beralih memegang jawatan Menteri Kesihatan sekarang ini, malah videonya pernah tular ketika dimarahi seorang jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah.

Lebih teruk dihentam apabila beliau turut bertanding merebut jawatan Presiden UMNO.

Jika individu lain, tentulah berasa malu dan marah apabila diperlakukan sedemikian.

Namun, beliau lebih bersikap dan berfikiran terbuka menerima semua kritikan dan tidak pula membuat laporan polis. Sebaliknya, semua tuduhan dijawabnya dengan tenang dan mesra media.

Demikian juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sekarang ini kelihatan tenang menghadapi pelbagai fitnah dilemparkan terhadapnya.

Isu banglo yang pastinya bukan berharga ratusan ribu ringgit dan didakwa dimilikinya, dijawab dengan tenang, kerana sudah memahami selok-belok dan sepak terajang dalam dunia politik, tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal berlangsung.

Berbeza dengan pegawai kanan yang mengelilingi Perdana Menteri (PM) yang cepat melatah membuat laporan polis menuduh pihak tertentu melakukan fitnah dan menyebarkan berita palsu, pemimpin lebih muda kelihatan semakin berfikiran terbuka, bukan jumud dan tertutup, terpengaruh dengan cara lama menyekat kebebasan media.

Jika dilihat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu ketika Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO memerintah, banyak syarikat media yang diserbu dan disiasat, khususnya apabila melaporkan isu dan skandal berkaitan kewangan atau isu-isu yang tidak digemari kerajaan.

‘Must cover must use’ sudah menjadi arahan sinonim kepada media arus perdana ketika itu dalam acara melibatkan pemimpin tertinggi dan isteri mereka, walaupun berita itu tidak mampu pun menjual surat khabar.

Perhatikan selepas PRU14, berapa banyak pula syarikat media yang disiasat dan diserbu, tidak kiralah sama ada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) – sifar rasanya.

Sehinggalah kelmarin apabila portal Agenda Daily dikatakan ‘dilawati’ pegawai SKMM, tatkala negara semakin ‘dikawal’ semula oleh juak-juak UMNO. Adakah media akan kembali berdepan dengan cara mengawal media sebelum PRU14? Mungkin, jika dilihat kepada keadaan semasa.

Tok Akhi melihat antara tuduhan di dalam laporan polis itu ialah analisis yang dibuat didakwa memanipulasi kenyataan PM dan bertujuan memalukan atau mencemarkan nama baik PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jika begitu, biarlah pihak berkuasa yang menyiasat.

Tetapi Tok Akhi ingin membuat teguran dan jangan pula dilihat sebagai hendak memalukan atau menjatuhkan martabat PM. Kita semua sayangkan PM kita.

Isunya – tidak wajarlah seorang PM membuat pengumuman mengenai harga ayam dan harga telur ayam. Bukan taraf PM untuk membuat pengumuman berkaitan harga ayam, lembu, atau kambing.

Harga ayam dan telur itu biarlah menteri, timbalan menteri atau ketua pengarah kementerian berkaitan sahaja yang mengumumkan, bukannya taraf seorang PM untuk berbuat demikian.

Presiden Indonesia, atau Filipina, PM Singapura dan PM Thailand, rasanya tidak pernah membuat kenyataan mengenai harga ayam dan telur, kerana masing-masing lebih sibuk dalam menangani isu lebih besar terutama membawa pelabur asing ke negara mereka, dalam keadaan pandemik Covid-19.

Akhir sekali, pegawai di sekeliling PM perlu memberi nasihat dan menyusun strategi komunikasi dalam era revolusi digital web 4.0, supaya PM Malaysia tidak diperlekeh pada mata dunia kerana membuat pengumuman mengenai harga ayam dan telur, bukan meledakkan kemarahan tanpa usul periksa.

Tok Akhi berkecimpung dalam dunia kewartawanan dan penulisan bukan baharu, sudah hampir 40 tahun. Usi a Tok Akhi dengan PM Ismail Sabri sama. - AGENDA DAILY

(*) Tok Akhi -Pemerhati politik kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Tiada ulasan: