HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Februari 2022

Tiada keperluan adakan PRN Kedah – Tok Mat

MALAYSIA POST

Tiada keperluan adakan PRN Kedah – Tok Mat

TIADA keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ketika ini, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Pengarah PRN Barisan Nasional (BN), berkata setakat ini tiada apa-apa isu membabitkan kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) hingga perlu diadakan PRN.

Namun beliau mengakui tidak mengetahui situasi sebenar dalam kerajaan negeri berkenaan ketika ini.

“Saya di ibu pejabat (Kuala Lumpur). Jika ada apa-apa berlaku di Kedah, jangan salahkan saya, tapi buat masa ini saya tak dengar apa-apa,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri Kedah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pilihan raya bukanlah sesuatu perkara yang perlu diadakan jika tiada keperluan penting.

“Bagi saya tak ada keperluan. Kita jangan main-main dengan (pilihan raya), melainkan ada keperluan penting,” katanya.

Sebelum ini, tular mengenai dua Adun Umno dan dua Adun Bebas di Kedah dikatakan akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang boleh membawa kepada pilihan raya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah aman.

Untuk rekod, kerajaan Kedah yang diterajui Pas bergantung sokongan penuh Umno untuk terus berkuasa.

Pada Sabtu lalu, Adun Umno Kedah, Norsabrina Mohd Noor, menafikan dia serta seorang lagi wakil rakyat parti itu akan menarik sokongan mereka terhadap Muhammad Sanusi. – Malaysiapost

Tiada ulasan: