HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Februari 2022

Saddiq jawab fitnah dilempar, persoal pemimpin Umno hidup mewah tidak pula disiasat

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebentar tadi menunjukkan rumah sewa didiami yang juga menjadi pejabat parti diterajuinya.

Ahli Parlimen Muar berkenaan menegaskan tiada apa yang disembunyikan seperti banyak fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

“Banyak fitnah yang saya dapat beberapa hari ini. Sampai sanggup buat video mahal-mahal.
Hari ini saya tunjuk sendiri rumah sewa saya. Saya telus, tak ada apa-apa nak sorok,” katanya.

Dalam video berdurasi seminit 18 saat itu, Syed Saddiq yang tampil mengenakan baju MUDA berwana hitam memberitahu polisinya semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Masa jadi Menteri KBS, saya orang pertama isytihar aset, saya buat tender terbuka. Saya langsung tidak bagi tender kepada kroni,” tegasnya.

Sebaliknya, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mempersoalkan apa tindakan terhadap sejumlah menteri termasuk beberapa bekas menteri Umno-BN yang langsung tidak disiasat.

“Rumah bukan main mewah, kereta mewah bukan main banyak, jam tangan sampai boleh beli semua harta saya,” katanya.

Sehubungan itu, pemimpin yang berusia 28 tahun tersebut menegaskan iltizamnya untuk mengubah Malaysia.

“MUDA nak bina Malaysia yang lebih berintegriti, bermaruah dan maju. Saya seru kita semua bangkit dari politik lapuk!” tegas Syed Saddiq lagi.

Pada masa ini, beliau menghadapi pertuduhan berkaitan tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan harta dan dua tuduhan pengubahan wang haram

Bagaimanapun, Syed Saddiq yang diwakili peguamnya, Gobind Singh Deo, mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kesemua tuduhan itu dibacakan sekali lagi terhadapnya pada 19 Januari lalu.

Kesemua kes tersebut akan didengar bersama yang ditetapkan selama 22 hari bermula 10 Jun ini.

Tiada ulasan: