HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Februari 2022

Laungan retorik, manifesto bukan penentu kemenangan – Anwar

MALAYSIA POST

PRN Johor: Laungan retorik, manifesto bukan penentu kemenangan – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jentera parti itu diperkukuhkan serta berperanan dengan berkesan bagi menarik sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Anwar mengingatkan walaupun parti itu mempunyai idealisme dan perjuangan lebih baik, namun ia boleh dikalahkan oleh parti yang mempunyai sejarah ‘rompakan’ jika jentera tidak berperanan dengan berkesan.

“Kita boleh ada idealisme perjuangan menegakkan hak dan jalur yang baik, tapi jika strategi jentera lemah dan malap, kita mampu dikalahkan oleh kelompok yang tak punyai idealisme dan ada sejarah rompakan serta penindasan kepada rakyat bawahan.

“Tetapi kalau ada strategi yang sangat berkesan, dia (parti lawan) mampu mengalahkan (parti) yang lebih baik (PKR),” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra di ibu pejabat PKR negeri di Johor Bahru malam tadi.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut mengingatkan bahawa kemenangan pada PRN Johor bukan ditentukan oleh laungan retorik serta manifesto, sebaliknya gerak kerja dan muafakat sesama jentera parti.

“Jadi saya rasa itu peringatan yang sangat penting kepada kita… bukan laungan, retorik dan jeritan yang akan menangkan kita, bukan manifesto malah bukan sejarah lampau, tapi gerak kerja dan muafakat dalam kalangan kita,” katanya.

Dalam PRN Johor ini, PKR akan bertanding menggunakan logo sendiri manakala sekutunya DAP dan Amanah bakal menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

Tiada ulasan: