HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Februari 2022

PAS lahirkan pemimpin berintegriti, kompetensi tinggi

HARAKAH DAILY

TAIPING: Ijtihad, kebijaksanaan dan kepimpinan PAS dari dahulu sehingga kini terbukti apabila PAS konsisten dalam menyelamatkan negara seperti yang termaktub pada Perlembagaan penubuhannya iaitu mentadbir negara dengan acuan Islam.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, hal itu dapat dilihat dari kejayaan memimpin Kelantan selama lebih 30 tahun dengan pendekatan ubudiyah, mas’uliah dan itqan yang menjadikan pemimpin PAS bebas sebarang salah laku rasuah mahupun salah guna kuasa.

“(Ini) mesej kepada rakyat (bahawa) PAS berupaya melahirkan pemimpin-pemimpin yang apabila diberikan kepercayaan, PAS mampu memimpin dengan nilai integriti dan kompetensi,” ujarnya pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Perak.

Terangnya, bagi mendokong usaha Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mencapai agenda Islam menyatukan ummah, maka gerak kerja tersebut perlulah didahului dengan setiap ahli berjuang sepenuh keikhlasan.

“Ummah hanya boleh disatukan (oleh) mereka yang ikhlas. Bukan yang berkepentingan peribadi atau perjuangan politik semata-mata. Perkara pertama perlu disatukan ialah saf ahli PAS. Alhamdulillah ahli kita telah diikat dengan DNA tarbiyah PAS.

“Siapa yang melalui DNA tarbiyah PAS, mereka tidak akan melakukan perkara yang boleh merosakkan parti,” ujar Ahli Dewan Negara itu pada program di Hotel Taiping Perdana, di sini kelmarin.

Kesempatan itu, beliau turut berpesan agar ahli PAS di setiap peringkat parti meneruskan gerak kerja yang jitu dan sentiasa menggembleng tenaga sebagai persediaan mencapai kemenangan dalam PRU15 akan datang.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Khalil Yahaya dalam pada itu menegaskan, ‘Islam Menyatukan Ummah’ yang menjadi tema dan hala tuju semasa menunjukkan kesungguhan PAS dalam menggerakkan agenda tersebut.

PAS Perak katanya, amat berkeyakinan berdasarkan 11 tahun terakhir tema Muktamar Tahunan PAS Pusat, jelas menunjukkan parti ini tetap istiqamah menyeru perpaduan bertunjangkan prinsip Islam adil untuk semua.

“Sebagai ahli gerakan Islam amat memerlukan keyakinan yang tinggi dalam menegakkan perjuangan Islam serta pastikan segala maklumat sampai ke bawah.

“(Oleh itu) penting untuk jentera penerangan seluruh peringkat termasuklah pimpinan dan ahli mesti sebar luaskan kerja buat PAS kepada masyarakat keseluruhan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: