HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 November 2007

Khairy, Nazri sudah jadi Zam yang tidak rasional hadapi Al-Jazeera

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz meletakkan taraf mereka sama dengan Zainudin Maidin kerana menggunakan hujah yang tidak rasional apabila berhadapan dengan media antarabangsa Al-Jazeera yang hanya melaporkan keadaan sebenarnya yang berlaku semasa Perhimpunan Aman Rakyat, 10 November lepas.

Terbaru, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggunakan hujah menggunakan tragedi berdarah di Batu Burok pada 8 September lalu untuk menghalalkan tindakan ganas polis dalam perhimpunan Aman Rakyat pada 10 November lalu.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh perantara rancangan '101 East' , Teymoor Nabili, yang disiarkan oleh stesen televisyen satelit Al Jazeera malam tadi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz pula dibidas peguam, Malik Imtiaz Sarwar dalam membicarakan tentang kebebasan media di Malaysia.

Ketika menjawab mengenai liputan media arus perdana mengenai perhimpunan tersebut yang disifatkan oleh Nabili sebagai mengampu kerajaan, Nazri mendakwa media di Malaysia diberikan kebebasan untuk melaporkan apa sahaja.

Namun begitu, kenyataannya dibidas oleh Malik yang menyatakan bahawa semua media di Malaysia kini perlu memiliki permit untuk sebarang cetakan yang diedarkan kepada rakyat serta tertakluk kepada undang-undang tertentu yang membataskan apa yang tertulis pada edaran tersebut.

Ujarnya hal ini jelas membuktikan bahawa media di Malaysia hakikatnya dikongkong oleh kerajaan, dan tidak bebas.

Dalam pada itu, walaupun Khairy menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah melakukan pelbagai perubahan bagi memastikan perjalanan pilihanraya mengikut apa yang ditetapkan, namun Malek menekankan bahawa apabila rakyat berhimpun menyatakan bantahan , ini memberikan suatu isyarat yang jelas bahawa perubahan yang dibuat tidak cukup untuk memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kejadian dalam perhimpunan tersebut tidak wajar dijadikan sebagai barometer yakni ukuran kepada perjalanan sistem demokrasi di Malaysia," jawab Khairy.

Walaupun Khairy menyatakan perhimpunan tersebut dianjurkan oleh pembangkang, Malik mempertahankankan hujahnya dengan menyatakan bahawa ia adalah anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang merupakan sebuah gabungan badan-badan bukan kerajaan dan parti politik.

Ketika ditanya Nabili, Khairy berkata Umno-BN pernah menganjurkan himpunan untuk menyokong. "Kalau dia boleh himpun 50 ribu, saya boleh panggil 1 juta orang" tambah Nazri pula.

Sementara itu, Malek berpendapat jika rakyat tidak dihalang menerusi sekatan-sekatan jalan raya dan ugutan polis yang memberikan amaran supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut, sudah tentu jumlah penyertaan akan meningkat.

"Kesan daripada suara sejumlah rakyat tersebut menunjukkan perlu ada perubahan dalam institusi pemerintahan di negara ini," ulas Malek.

Namun, Nazri dan Khairy tetap menegaskan bahawa negara tidak perlukan sebarang perubahan dalam institusi pemerintahan buat masa ini.

Rancangan '101 East' disiarkan oleh Al-Jazeera menerusi saluran 513(Astro) jam 10.30 malam semalam, dan siaran ulangannya pula pada 1.30 petang tadi.

Sebelum ini Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainudin Maidin turut berbalah dengan Al-Jazeera dalam temubual secara langsung sejurus selepas Perhimpunan Aman 10 November. - mr

Tiada ulasan: