HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 November 2007

Adik peguam lapor polis
Oleh Alang Bendahara dan David Yeow


KUALA LUMPUR: Adik lelaki peguam terkemuka, Datuk V K Lingam, membuat dua laporan polis mendakwa abangnya terbabit dengan kegiatan rasuah membabitkan beberapa bekas ketua hakim negara, hakim kanan, bekas pendakwa raya dan pegawai kanan polis.

V Thirunama Karasu, 49, mendakwa beliau dipergunakan Lingam untuk memberi rasuah kepada pihak yang terbabit dengan kehakiman, perundangan dan polis serta mengesahkan pembabitan abangnya dalam pemberian rasuah itu.

Thirunama Karasu membuat laporan polis pertamanya di Balai Polis Kelana Jaya pada 16 Mac lalu dan laporan keduanya di Balai Polis Brickfields pada 19 Mac lalu, mendakwa abangnya terbabit dengan rasuah.

Dalam laporan itu, beliau juga mengaitkan pembabitan bekas Ketua Hakim Negara, beberapa hakim kanan, bekas Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara.

Salinan laporan polis itu diedarkan kepada pemberita pada sidang media oleh peguam, Wee Choo Keong, yang juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) di Petaling Jaya di sini, semalam.

Dakwaan Thirunama Karasu ini agak mengejutkan selepas nama Lingam juga dikaitkan dengan rakaman perbualan klip video berhubung perbualannya dengan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan ketua hakim negara.

Wee berkata, Thirunama Karasu menghubunginya 10 hari lalu dan mengatakan mempunyai bukti mengenai klip video itu.

“Saya mendedahkan nama Thirunama Karasu kerana beliau saksi penting dan Suruhanjaya Diraja harus memanggilnya untuk memberi keterangan dalam siasatan mereka.

“Walaupun ia berisiko tapi polis dan Peguam Negara mengetahui kandungannya melalui laporan polisnya,” katanya sambil menambah beliau akan menyerahkan salinan laporan itu kepada Majlis Peguam dan Pemangku Ketua Hakim Negara.

Thirunama Karasu mendakwa beliau juga pernah menghantar abangnya ke rumah seorang bekas Ketua Hakim Negara pada waktu tengah malam dan mengambilnya semula sejam kemudian.

Beliau juga mendakwa pernah membayar bil telefon bimbit bekas Ketua Polis Negara.

Thirunama Karasu ketika ditemui di rumahnya oleh News Straits Times (NST) semalam berkata: “Saya tidak pernah memberi persetujuan kepada Wee untuk mendedahkan laporan polis itu, Tapi kandungan laporan itu adalah benar,”.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kesanggupan untuk memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kandungan rakaman perbualan antara Lingam dan hakim kanan.

Ketika ditanya mengapa beliau sanggup membuat laporan polis yang mengaitkan diri dan adik beradiknya sendiri, Thirunama Karasu berkata, beliau berasa bersalah, selain ugutan terhadap keluarganya.

Bekas pekerja Tenaga Nasional itu berkata, beliau diminta Lingam bekerja dengannya pada 1995 tapi keluar pada 1996, kerana tidak tahan.

Thirunama Karasu juga mendakwa pada 1995 beliau menyaksikan Lingam memberi rasuah melalui cek sebanyak RM50,000 kepada seorang bekas hakim Mahkamah Perusahaan, selain menganjurkan makan malam untuk bekas Ketua Hakim Negara.

Katanya, pada 1996 beliau diminta abangnya, menghantar beg kulit, dompet, beg tangan wanita dan beberapa dokumen ke rumah seorang hakim kanan.

Thirunama Karasu berkata, pada 1998 beliau membuat tiga laporan berasingan kepada BPR berhubung pembabitan Lingam dalam rasuah.

Tiada ulasan: