HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 November 2007

Malaysia tertinggal dalam pasaran halal dunia

MELAKA: Malaysia masih ketinggalan dalam memperkasa pasaran global halal yang kini mencecah AS$2.3 trilion berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara serta negara bukan Islam.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Industri Halal Malaysia (HDC) Datuk Jamil Bidin berkata Thailand jauh mendahului Malaysia dan kini berjaya menjadi pengeskport ayam halal terbesar dari rantau ini ke negara Timur Tengah.

"Keseluruhan eksport produk halal Thailand berjumlah AS$6.8 bilion dan mereka kini mempunyai sebuah pusat sains serta penyelidikan halal," katanya ketika berucap pada Seminar Pembangunan Industri Halal 2007 di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Menurut Jamil, negara jiran lain seperti Singapura turut mempunyai inisiatif dalam produk halal yang kini menawarkan persijilan halal menerusi internet.

Selain itu, katanya, Filipina juga sedang berusaha memperkasa industri halal mereka di Mindanao, manakala negara Islam seperti Brunei dan Indonesia turut mengorak langkah secara serius menceburi pasaran halal dunia.

"Negara-negara itu telah melihat potensi yang ada, mengapa tidak kita," katanya.

Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara-negara lain terutamanya dari segi persijilan halal dan logo halalnya yang diterima secara meluas oleh negara-negara Islam di dunia, katanya.

Beliau berkata para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang kini mendominasi industri halal negara digalakkan bergabung serta menubuhkan konsortium sebagai satu syarikat besar dalam melaksanakan promosi dan penjenamaan bagi produk halal.

Menurutnya sesuatu produk itu bukan sahaja perlu halal tetapi aspek pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan serta pemasarannya juga perlu mencapai tahap piawaian antarabangsa yang tinggi.

"Selain itu, kita harus sedar bahawa produk halal bukan sahaja tertakluk kepada makanan tetapi juga bukan berasaskan makanan seperti farmaseutikal, kosmetik, pakaian, perbankan, logistik serta industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata HDC telah mengaturkan beberapa program untuk membangunkan industri halal negara termasuk program "Juara Halal" yang diwujudkan khas untuk meningkatkan kredibiliti mereka yang menceburinya di samping membantu mempertingkatkan perniagaan ke taraf pemain industri halal global.

"Selain itu, satu pelan induk untuk industri halal sedang dirangka untuk memberi satu hala tuju yang strategik," katanya.

Sementara itu Mohd Ali berkata satu kawasan hab halal seluas 1.8 hektar sedang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di kawasan industri Serkam dengan 34 unit bengkel berkembar dan 10 unit bangunan kedai bernilai RM9.1 juta.

Beliau berkata PKNM juga sedia menjual tanah lot-lot kosong untuk industri halal seluas 26.4 hektar di kawasan yang sama. BERNAMA

Tiada ulasan: