HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 November 2007

Cadangan bina pusat sukan di Brickendonbury ditolak

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perancangan Majlis Daerah Hertfordshire Timur telah menolak permohonan kerajaan untuk membina Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) di Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARCC) di Brickendonbury, Britain.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut di Bishops Startford, Hertfordshire pada Rabu malam (pagi ini waktu Malaysia).

"Dengan keputusan itu, kita sekarang perlu menyediakan laporan untuk diserah kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai panduan untuk tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Ramlan yang menghadiri mesyuarat majlis daerah tersebut berkata: "Kita sama ada boleh merayu, menghantar permohonan baru, yang lebih cepat prosesnya atau tidak meneruskan langsung perkara tersebut. Semuanya bergantung kepada keputusan jawatankuasa kabinet."


Beliau berkata pada mesyuarat jawatankuasa Hertfordshire itu yang dipengerusikan oleh R. Gilbert, seramai 13 dari 19 anggotanya menolak permohonan Malaysia. Satu-satunya anggota majlis yang menyokong cadangan Malaysia, K.A. Barners telah berkecuali.

Dr Ramlan berkata konsultan Majlis Sukan Negara, John Whittaker dari White Young Green Planning, dibenar bercakap selama tiga minit bagi meyakinkan majlis berkenaan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan awal mereka.

Namun menerusi sembilan perkara yang dibangkitkan oleh pegawai kes, Tim Hagyard dalam laporannya bagi menolak permohonan itu, "jelas telah mempengaruhi anggota-anggota majlis," katanya.

"Antara cadangan penolakan itu ialah berdasarkan laporan dari Persatuan Sejarah, Pusat Biologi, Unit Perancangan Pembangunan dan Kariah Kebebasan Brickendon," kata Dr Ramlan.

Dalam penolakan mereka, katanya, para anggota majlis tersebut merasa gusar dengan ketiadaan rancangan masa depan bagi membangunkan PLPT dan kekurangan kemudahan yang akan dibina dalam fasa pertama perancangan tersebut.

"Walaupun jawatankuasa itu telah diberi maklum balas yang positif dan mendapat sokongan pengurus perancangan kanan Sukan England, Roy Warren, berhubung permohonan tersebut, mereka (anggota jawantankuasa) berpendapat mereka perlu menolaknya setakat itu," katanya.

TARRC seluas 16 hektar itu dimiliki oleh Lembaga Getah Malaysia yang terletak di Hertfordshire, timur London, kira-kira 24km dari Perkampungan Sukan Olimpik London 2012.

Antara kemudahan yang terdapat di TARRC ialah sebuah padang bola, kolam renang, padang kriket, kantin, asrama, makmal, bilik mesyuarat dan pejabat.

Dr Ramlan sebelum ini berkata cadangan membangunkan TARRC kepada PLPT telah diserahkan Majlis Daerah Hertfordshire Timur pada Jun yang diikuti beberapa siri perbincangan antara pegawai kementerian Malaysia dengan para anggota majlis tersebut.

Beliau menjangkakan PLPT boleh beroperasi awal tahun depan selepas projek menaik taraf bernilai 10 juta paun (RM67.22 juta) yang telah diluluskan Jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan, disiapkan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata PLPT akan merupakan pusat transit bagi atlet Malaysia sebelum bertanding pada kejohanan di Eropah.

Pasukan bola sepak Bawah 16 Tahun kebangsaan pernah menginap di PLPT pada Mei lepas semasa mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Bawah 16 Tahun Arsenal. BERNAMA

Tiada ulasan: