HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 November 2007

Perhimpunan 10 Nov: Penganjur akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang akan memutuskan mengenai tindakan sesuai untuk diambil terhadap penganjur perhimpunan haram Sabtu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau menyerahkan kepada Abdul Gani untuk mengambil tindakan sesuai selaras dengan kepentingan negara.

"Undang-undang negara perlu dihormati dan jelas kepada saya bahawa polis tidak mengeluarkan permit (bagi mengadakan demonstrasi jalanan).

"Mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967, mereka yang menyertai perhimpunan haram akan ditahan", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Teknologi Malaysia-Jepun Antarabangsa di sini hari ini.

Nazri, yang juga memegang portfolio undang-undang, memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa perhimpunan haram itu merupakan helah Pembangkang untuk dijadikan alasan kerana mereka pasti kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan itu mereka akan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya yang kononnya tidak adil dan telus dalam mengendalikan pilihan raya.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan kira-kira 4,000 orang yang cuba berarak dari Jalan Tun Perak ke Dataran Merdeka dalam perhimpunan haram anjuran satu kumpulan yang menamakan dirinya Bersih yang disokong oleh lima parti pembangkang.

Sebanyak 245 orang ditahan untuk disoal siasat tetapi dibebaskan kemudiannya selepas kenyataan mereka direkodkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nazri berkata pembangunan modal insan telah menjadi keutamaan negara bagi membolehkannya berdaya saing menerusi penguasaan teknologi terkini.

Beliau berkata Malaysia perlu membangunkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi pasaran global di mana teknologi sentiasa berubah.

Kumpulan baru rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang mampu menterjemahkan idea dalam mengeluarkan produk baru untuk pasaran akan dapat dilahirkan menerusi transformasi sistem pendidikan, katanya.

"Saya percaya kerjasama antara Malaysia dan Jepun akan memastikan Malaysia terus mengekalkan pertumbuhan ekonomi mapan dan daya saing industri supaya setaraf dengan rakan di Jepun," katanya.

Kira-kira 400 peserta, termasuk wakil dari 15 universiti Jepun menghadiri simposium empat hari itu yang dianjurkan bersama oleh Pusat Universiti Malaysia-Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia. BERNAMA

Tiada ulasan: