Tak ada IPTA
KUALA LUMPUR: Tidak ada satupun universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007 oleh Times Higher Education Supplement (THES), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini.
Sambil memandang serius keputusan itu, Mustapa melahirkan tekad untuk mempertingkatkan kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Ogos lepas.
Tahun lepas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diletakkan dalam kedudukan 185 dalam ranking itu manakala Universiti Malaya pada ranking 192.
Menurut Mustapa bagi tahun ini, kaedah yang digunakan untuk membuat ranking oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES diubah, yang menurut syarikat itu bertujuan menjadikan kajian lebih tepat.
"Akibatnya ranking bagi hampir semua institusi yang tersenarai, termasuk yang berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia juga berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa bagaimanapun tidak menyatakan ranking kedua-dua universiti itu tahun ini.
Sehubungan itu beliau mahu semua IPT tempatan melipatgandakan usaha untuk menambahbaik prestasi institusi masing-masing agar tergolong di kalangan universiti terbaik dunia.
"Dalam penilaian ranking THES, 60 peratus markah diberi kepada penilaian kepakaran (40 peratus) dan "Citation" (20 peratus). Oleh yang demikian saya sudah mengarahkan semua Naib Canselor menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi mereka.
"Bagi saya, jelas bahawa reputasi akademik sesuatu institusi adalah sangat penting kerana ia berlandaskan kegiatan akademik seperti penerbitan, pembentangan kertas kerja dalam persidangan yang berimpak tinggi dan jaringan akademik," katanya.
Beliau berkata sejak dua tahun kebelakangan ini para naib canselor IPT tempatan memberi perhatian khusus terhadap ranking THES dan melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan.
Katanya iltizam kementerian serta IPT adalah jelas menerusi pelancaran Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan Pelan Tindakan 2007-2010 Ogos lepas, namun begitu hakikatnya segala usaha yang dibuat memakan masa untuk menampakkan hasil.
Mustapa berkata sejak akhir-akhir ini juga banyak usaha yang dilakukan oleh IPT tempatan untuk meingkatkan kualiti termasuk dengan memberi tumpuan terhadap Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), memperbaiki sistem penyampaian dan memperkasakan kegiatan pengantarabangsaan pengajian tinggi di
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Sharifah Hapsah Syed Hassan Sahabudin akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya esok mengenai ranking universiti itu dalam THES.
Menurut kenyataan UKM, Prof Sharifah Hapsah antara lain akan menerangkan secara keseluruhan mengenai kedudukan UKM dalam bidang tertentu dan cara-cara bagaimana penilaian dibuat oleh THES.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan