HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2007

Belanjawan Selangor didakwa gula-gula pilihan raya

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ketua Pembangkang yang juga Adun Sungai Pinang, Teng Chang Kim, mendakwa Belanjawan 2008 bagi negeri Selangor adalah gula-gula menjelang pilihan raya umum nanti.

Ini berikutan peningkatan ketara jumlah belanjawan kali ini. Pada 2004 belanjawan sebanyak RM480 juta, pada 2005 RM540 juta (peningkatan 12.5 peratus), 2006 (RM540 juta, tiada peningkatan), 2007 (RM550 juta, peningkatan 1.8 peratus) dan pada 2008 (RM670 juta, peningkatan 21.8 peratus).

Dalam teks ucapannya di Dun Selangor, Chang berkata, kerajaan tidak pernah memberi alasan untuk meningkatkan peruntukan pembangunan secara mendadak.

"Bukan kita tidak mahu peruntukan pembangunan yang tinggi tetapi kita mahu peruntukan pembangunan yang berdasarkan perancangan yang terperinci," katanya.

Pemimpin DAP itu berkata, perancangan mengikut musim pilihan raya amat berbahaya dan memudaratkan kedudukan kewangan negeri pada jangka masa yang panjang.

Katanya, oleh kerana belanjawan pilihan raya terdapat ciri-ciri luar biasa dalam pemberian peruntukan.

Menurut beliau, Selangor sebagai negeri maju dan kaya mengikut langkah ke belakang.

Katanya, dalam mewujudkan skim khairan kematian kerajaan Selangor akan memberikan sagu hati kematian kepada waris yang layak dan peruntukan itu sebanyak RM10 juta.

Bagaimanapun, katanya, untuk skim lain jauh lebih rendah seperti program perpaduan hanya RM100,000, Pelan Tindakan Program Menangani Gejala Sosial RM300,000, Program Belia Antidadah RM1 juta; Program Pembangunan Insan Berkemahiran Teknikal Untuk Belia India Selangor, RM1 juta dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Estet Negeri Selangor, RM1 juta.

Beliau turut menyentuh masalah pekerja dan bekas pekerja estet yang kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal akibat pembangunan dan perindustrian.

"Saya menggesa kerajaan mengotakan janji mengarahkan pendaftaran permohonan rumah kos rendah seperti penduduk di Kampung Rimba Jaya dan Kampung Berembang disegerakan," tegasnya.

Menurut beliau, bantuan kepada mereka yang tidak mampu memohon rumah kos rendah perlu diambil tindakan segara demi keselamatan dan kebajikan.

"Undang-undang yang digunakan oleh kerajaan dengan tujuan menemui sasaran 'sifar setinggan' mempamerkan sikap Khir Toyo keras kepala dan keras hati," dakwa beliau.

Katanya, pada pada zahirnya, matlamat 'sifar setinggan' memperolehi kejayaan, tetapi kejayaan itu akan dibayar dengan kos sosial yang amat tinggi.

Selain itu beliau turut menyentuh tentang pengakuan Khir Toyo berhubung kegagalan Pejabat Daerah dan Tanah Ulu Selangor yang tidak menepati sasaran pungutan cukai.

"Apakah kegagalan itu sudah memadai untuk menilai prestasi jabatan itu, bagaimana pula dengan jabatan lain yang cekap memungut cukai tetapi handal membazir wang rakyat," soalnya.

Beliau menegaskan bagaimana kesalahan yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam pembangunan Bukit Cerakah di mana PKNS telah disabitkan salah di mahkamah.

"Bukankah dalam kes tersebut, pengerusinya, Khir Toyo lebih layak diberikan penyapu sebagai hadiah," katanya ketika membentangkan teks ucapannya. - lanh

Tiada ulasan: