HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 November 2007

Satu sen tak diguna di kaunter 1 April 2008

Oleh Farid Noh

KUALA LUMPUR: Mulai 1 April tahun depan syiling satu sen tidak akan digunakan lagi bagi pembayaran di kaunter, sebaliknya semua bayaran bil digenapkan melalui Mekanisme Penggenapan untuk mengurangkan kos pengeluaran syiling berkenaan.

Menerusi mekanisme itu, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh sen diturunkan kepada lima sen terdekat, manakala tiga, empat, lapan dan sembilan sen dinaikkan kepada lima sen terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata mekanisme itu diguna pakai untuk jumlah keseluruhan bil dan bukan bagi setiap unit barangan.

"Bagaimanapun, syiling satu sen akan terus sah diperlakukan tetapi jumlah yang dikeluarkan setiap tahun akan dikurangkan," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan pengenalan mekanisme itu di sini, semalam.

Shafie berkata, pelaksanaan mekanisme itu membolehkan kerajaan menjimatkan kos pengeluaran syiling satu sen sebanyak RM14 juta setahun.

Bank Negara Malaysia mengeluarkan 360 juta syiling satu sen setahun dan setakat ini, kira-kira 4.4 bilion syiling satu sen sudah dikeluarkan.

"Kira-kira satu peratus saja syiling satu sen kembali ke bank pusat berkenaan. Banyak yang tidak dapat dikesan," katanya.

Beliau berkata, pengenalan mekanisme itu juga akan memberi faedah kepada pengguna dan peniaga kerana transaksi kaunter lebih pantas.

Katanya, penggunaan mekanisme itu membabitkan semua jenis pembayaran di kaunter sama ada tunai atau bukan tunai (cek, kad kredit, kad caj dan kad debit).

"Bagaimanapun, pembayaran dalam talian melalui internet termasuk pembayaran bil utiliti, kad kredit dan pembayaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) tidak tertakluk kepada mekanisme itu," katanya.

Beliau berkata, peniaga diwajib mempamerkan jadual mekanisme berkenaan dengan logo kementerian di kaunter juruwang.

Tiada ulasan: