Rela bersara awal -- Amat sukar menerima penyapu sebagai hadiah – Tukiman
Oleh: CYNTHIA YEOH
KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail (gambar) menegaskan, beliau lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) jika itu yang dimahukan oleh kerajaan negeri daripada dihadiahkan penyapu.
Beliau berkata, tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu amat sukar untuk diterimanya sebagai kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama 28 tahun.
Menurutnya, beliau terpaksa juga menerima hadiah penyapu itu dengan menganggapnya sebagai cabaran supaya lebih gigih untuk mengutip hasil pada tahun hadapan, apatah lagi ia dipersetujui dalam mesyuarat bersama tahun lepas.
‘‘Kalau ada pilihan, saya sebenarnya lebih rela ambil VSS atau bersara awal daripada dapat hadiah penyapu yang bagi saya amat sukar untuk diterima,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan
Nada beliau kali ini jelas berbeza dengan kenyataan sebelum ini yang mahu menjadikan penyapu yang diterimanya daripada Menteri Besar Selangor sebagai sumber inspirasi untuk bekerja keras.
‘‘Saya letak penyapu itu dalam pejabat sebagai inspirasi serta iktibar kepada saya dan kakitangan,’’ katanya sebelum ini.
Tukiman menyatakan demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan Selangor tidak akan memberikan penyapu sebagai anugerah kepada PBT yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum tahun depan, sebaliknya mengarahkan para pegawai atasan PBT melepaskan jawatan ma
sing-masing dengan bersara awal atau mengambil VSS.
Mohamad Khir mengambil keputusan tersebut setelah langkahnya menghadiahkan penyapu kepada PBT yang gagal berkhidmat dengan baik telah menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat yang antara lain menganggap penyapu sebagai pembawaan sial.
Menurut beliau, untuk penilaian pada tahun hadapan, pihaknya tidak hanya memfokuskan kepada pencapaian sesebuah jabatan tetapi juga akan menilai prestasi individu yang bertanggungjawab terhadap organisasi yang dipimpin.
Dalam hubungan ini, Tukiman berkata, langkah meminta kakitangan kerajaan supaya bersara awal atau mengambil VSS adalah lebih praktikal kerana ia tidak menghina atau memalukan mereka.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan berhubung cadangan memperkenalkan VSS atau bersara awal hendaklah mengambil kira pandangan serta persetujuan daripada pelbagai pihak sebelum dilaksanakan.
‘‘Ia perlu bagi memastikan sebarang tindakan baru yang bakal diambil terhadap kakitangan kerajaan tidak menimbulkan sebarang kontroversi,’’ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan