Gelombang Kuning kembali ke Masjid Jamek, polis turut diberikan risalah
Herman Samsudeen
Kira-kira 30 orang pemuda dari Wilayah Persekutuan telah hadir untuk menyambung perjuangan Gelombang Kuning. Kali ini mereka hadir bukan untuk berdemontrasi, tetapi untuk mengedarkan risalah BERSIH.
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad telah mengetuai rombongan ini dan mengedarkan risalah tersebut di sekitar Jalan Masjid Jamek, Masjid India, Jalan Tunku Abd Rahman dan pekarangan Sogo.
Sepanjang sesi edaran, Kamaruzaman juga menggunakan pembesar suara untuk memperjelaskan kepada orang ramai yang hadir tentang tuntutan-tuntutan BERSIH.
Ternyata 'ceramah jalanan' ini berjaya menarik perhatian orang ramai. Mereka yang mendengar dan menerima risalah BERSIH mengangkat tangan memberikan signal 'bagus' dan mengucapkan syabas kepada Kumpulan Kuning ini kerana berani untuk tampil sekali lagi ke tempat yang menyaksikan sejarah kebangkitan Gelombang Kuning pada 10 November yang lepas.
Walaupun pada minggu lepas, himpunan Gelombang Kuning telah dikejar dan disembur dengan asid dan gas tetapi sedikit pun tidak menakutkan mereka untuk hadir kembali ke tapak himpunan bagi meneruskan perjuangan dan memberikan 'pendidikan politik percuma' kepada rakyat.
Pihak Polis dan Kakitangan DBKL juga turut tidak terlepas untuk menerima risalah BERSIH, dan mereka juga memberikan kerjasama yang baik dan tidak mengganggu Kumpulan Kuning ini untuk mengedarkan risalah sambil mengadakan 'ceramah jalanan'.
Kamaruzaman yang ditemui menekankan bahawa para pemuda dan penyokong-penyokong BERSIH harus turun ke lapangan masyarakat bagi meneruskan perjuangan dan mengedarkan risalah-risalah bagi memberikan kesedaran kepada rakyat tentang tanggungjawab mereka untuk bersama menegakkan kembali demokrasi yang tempang dan memilih pemimpin yang betul pada pilihan raya akan datang.
Beliau juga berharap agar program-program BERSIH tidak bernoktah di 10 November, tetapi harus dperhebatkan lagi agar rakyat sedar akan hak-hak mereka.
Rata-rata rakyat masih lagi tidak mengetahui fungsi dan pentingnya diri mereka bagi merubah sistem yang ada. Maka petugas dan penyokong BERSIH akan terus menerus turun untuk membawakan mesej bermakna kepada seluruh rakyat.
Pada minggu hadapan pula pemuda-pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan turun mengadakan 'Road Show' di 4 Parlimen iaitu Titiwangsa, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Putrajaya.
'Road Show' ini juga akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaafar bersama Pengarah Pilihan raya PAS, Dato' Mustapa Ali. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan