HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2007

RM3.5 bilion habis merawat penyakit akibat rokok

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membelanjakan RM3.5 bilion pada tahun ini bagi memberi rawatan kepada perokok yang menderita tiga jenis penyakit berpunca daripada tabiat buruk mereka itu.

Jumlah ini adalah kira-kira separuh daripada peruntukan tahunan yang diberi kepada Kementerian Kesihatan dan hampir satu peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Tetapi, bukan itu saja. Banyak lagi beban yang dijangka terpaksa dipikul oleh kerajaan akibat kedegilan rakyat negara ini yang terus merokok.

Pada tahun-tahun akan datang, lebih banyak perokok dijangka menghidap barah paru-paru, penyakit jantung iskemia dan penyakit saluran udara tersumbat kronik, yang akan memakan wang rakyat berjumlah berbilion ringgit.

"Jika langkah pencegahan tidak diambil, sebanyak RM3.8 bilion perlu dibelanjakan pada 2010 bagi merawat mereka yang menghidap penyakit ini.

"Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan RM7 bilion setahun, tetapi pada tahun ini, separuh daripada jumlah itu dibelanjakan bagi merawat tiga penyakit berkaitan merokok.

"Kerana perokok, kerajaan tidak dapat menyalurkan dana itu kepada bidang lain dalam penjagaan kesihatan," kata zamil kanan penyelidikan Institut Antarabangsa bagi Kesihatan Global Universiti Bangsa-bangsa Bersatu (UNUIIGH) Prof Dr Syed Mohamed Aljunid pada sidang akhbar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini hari ini.

Dr Syed Mohamed merupakan ketua penyelidik mengenai unjuran kos penjagaan kesihatan Malaysia bagi tiga penyakit berkaitan merokok 2004-2010.

Kajian beliau menunjukkan bahawa antara 23 peratus dan 25 peratus penduduk Malaysia terdedah kepada tiga penyakit berkenaan.

Pecahan demografi menunjukkan bahawa hampir separuh (49 peratus) daripada penduduk dewasa lelaki, 5 peratus penduduk wanita dewasa dan 13-15 peratus penduduk remaja negara ini adalah perokok..

Tiada ulasan: