HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2007

Kelantan rawat penagih melalui kaedah kerohanian

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan akan memulakan program rawatan "inabah", satu kaedah kerohanian sebagai rawatan alternatif bagi memulihkan penagih dadah di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata 15 juru kaunseling telah dihantar ke Surabaya dan Jakarta di Indonesia yang berjaya melaksanakan kaedah itu.

Kerajaan negeri juga telah menyediakan Pusat Baitutaubah atau 'rumah taubat' di Jeram Pasu, Pasir Puteh, katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Daud (PAS-Demit).

Takiyuddin berkata kaedah itu meliputi tiga aktiviti utama, antaranya, rawatan secara fizikal kepada penagih dadah dengan mengamalkan mandi pada awal pagi yang didapati berkesan mengeluarkan sisa toksik di dalam badan.

"Penagih dadah yang secara sukarela mahu berhenti juga akan diajar untuk mengamalkan solat taubat dan berzikir," katanya.

"Ini penting kerana ada penagih dadah yang tidak ingat siapa mereka, termasuk ada yang tidak ingat mereka itu lelaki atau perempuan," katanya.

Takiyuddin berkata program yang merupakan kaedah alternatif kepada program terapi gantian menggunakan dadah jenis metadon yang telah dilaksanakan Kementerian Kesihatan akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Selain menggunakan kaedah penggunaan dadah gantian untuk membantu penagih berhenti daripada terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah itu, Kelantan juga mempunyai pusat pemulihan dadah kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kepada satu lagi soalan Mohamed berhubung kewujudan klinik swasta yang menjual metadon di Kelantan, Takiyuddin selain beberapa klinik kerajaan yang dibenar menjual dadah jenis metadon di Kelantan, terdapat sebuah klinik swasta yang dibenarkan berbuat demikian iaitu Klinik Rosli di Jalan Kebun Sultan di sini. BERNAMA

Tiada ulasan: