HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 November 2007

Jimat RM960 jika tanam sayur sendiri

KUALA LUMPUR: Setiap keluarga boleh menjimatkan perbelanjaan dapur sebanyak RM80 sebulan atau RM960 setahun sekiranya mereka mengamalkan kempen Bumi Hijau dengan menanam sendiri keperluan sayuran dan ulaman di rumah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Shariff Omar berkata melalui usaha itu, setiap keluarga dapat menjimatkan perbelanjaan harian.

"Jika setiap keluarga atau peserta berbuat demikian dan seandainya 100,000 keluarga yang menyertai program ini bermakna sebanyak RM96 juta setahun perbelanjaan keluarga dapat dijimatkan," katanya dalam teks ucapan perasmian Karnival dan Promosi Kempen Bumi Hijau.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Bahagian Pembangunan Roseley Datuk Khalid.

Mohd Shariff berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti 13 jenis sayur-sayuran dan 11 jenis buah-buahan yang boleh ditanam penduduk di sekitar rumah atau kawasan-kawasan kosong di taman-taman perumahan.

Jenis sayuran yang boleh ditanam sendiri oleh setiap keluarga antaranya cili, timun, kacang buncis, bendi manakala buah-buahan pula meliputi betik, jambu batu, belimbing, tembikai, limau dan sebagainya.

Beliau turut memberikan contoh penanaman cili padi yang merupakan satu tanaman mudah hidup, tidak banyak masalah penyakit dan ia boleh ditanam disekeliling rumah sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.

Mohd Shariff berkata sebanyak 60 metrik tan cili padi dianggarkan bernilai RM60,000 dibawa masuk setiap hari ke negara ini dari negara jiran dan ini bermakna RM1.8 juta sebulan atau RM21.6 juta setahun cili padi diimport ke negara ini.

"Jika semua penduduk kawasan perumahan boleh menamam cili padi di rumah maka negara tidak perlu mengimport cili sekali gus membantu mengurangkan defisit imbangan bahan-bahan makanan negara yang mencecah kira-kira RM7 bilion setahun," katanya.

Kempen Bumi Hijau selama dua hari itu diadakan kali kedua selepas diadakan pada 2006 dengan tiga komponen iaitu tanaman sayur-sayuran, ulaman dan herba, diikuti ternakan ayam kampung dalam reban mudah alih dan ternakan ikan keli dan tilapia dalam kanvas. BERNAMA

Tiada ulasan: