HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2007

Buat kenyataan hina Speaker - Dua Adun BN digantung enam bulan
Nyza Ayob

KOTA BHARU (Hrkh)- Dewan Undangan Negeri Kelantan menggantung dua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, Dato' Nozula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mohd Adhan Kechik(Adun Bukit Bunga) daripada menghadiri persidangan bagi tempoh enam bulan kerana enggan meminta maaf dengan Speaker, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Speaker membuat keputusan penggantungan tersebut berdasarkan peruntukan yang telah dilaksanakan pada peringkat Parlimen Malaysia selepas kedua-duanya engan meminta maaf kerana membuat kenyataan diluar dewan.

Pada 21 November 2007 , kedua-dua Adun tersebut mengeluarkan kenyataan akhbar yang disiarkan akhbar tempatan yang berupa tuduhan ke atas Speaker yang mempertikaikan kedudukan Speaker.

Kenyataan akhbar dibuat di luar dewan selepas Nozula digantung daripada menyertai persidangan dewan pada hari tersebut kerana keengganannya mematuhi arahan Speaker supaya duduk ketika meminta giliran untuk berucap ketika sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Kelantan.

Usul penggantungan kedua-dua Adun tersebut dikemukakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Takiyuddin Hassan pada persidangan 26 November.

Tuduhan tersebut jelas Takiyuddin merupakan satu penghinaan kepada Speaker dan Dewan Undangan Negeri.

Usul tersebut dibahaskan oleh Drs Zainuddin Awang Hamat(PAS Limbongan) dan mendapat sokongan majoriti.

Sewaktu usul tersebut dibahaskan, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Panglima Anuar Musa mempertikaikan penggunanaan peruntukan pada peringkat Parlimen Malaysia bagi keputusan penggantungan kedua-dua Adun itu.

Bagaimananapun jelas Takiyuddin, penggantungan berdasarkan peruntukan Standing Order 125 yang memperuntukkan mana-mana perkara yang tidak disyaratkan dalam peraturan Standing Order, syarat dan peraturan Dewan Rakyat digunakan. Usul yang dikemukakannya itu berdasarkan kepada Standing Order Parlimen dan amalan yang dilaksanakan di Parlimen.

Sementara itu Nozula dan Adhan dalam sidang media yang diadakan semalam mendakwa usul pengantungan ke atas mereka ialah dengan menggunakan kelebihan dan kedudukan sebagai pihak kerajaan.

Mereka menyatakan tidak pernah berniat menghina Speaker dan Dun serta pertuduhan tersebut tidak jelas, tidak kukuh dan berniat jahat.

Kedua-dua Adun itu turut mendakwa mereka dinafikan hak untuk bersuara dan mengemukakan permasalahan yang perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri.

Difahamkan kedua-dua Adun tersebut segera bergegas ke pejabat BPR Kota Bharu selepas sidang media tersebut.

Sementara itu, Adun di pihak pembangkang turut mengeluarkan kenyataan akhbar sebagai tanda sokongan terhadap tindakan Nozula dan Adhan yang menyerahkan maklumat kepada BPR untuk siasatan.

Selain itu , mereka juga mengambil keputusan tidak menyertai perbahasan lanjut(belanjawan) di Peringkat Jawatankuasa dan bacaan ketiga Rang Undang-undang yang dikemukakan pada hari terakhir persidangan. - mr

Tiada ulasan: